PARIS Hilton.
PARIS Hilton.
Susunan Michelle Gun

Paris Hilton bernasib baik apabila cincin berlian miliknya yang bernilai RM7.73 juta ditemui semula di sebuah kelab malam di Miami, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Penyanyi dan usahawan berusia 37 tahun itu berparti di kelab berkenaan bersama tunangnya, Chris Zylka sebelum cincin pertunangan itu ‘terbang’ daripada jarinya.

Menurut Hilton, cincin 20 karat itu terlepas dari jarinya ketika menari kerana terlalu berat dan besar.

“Cincin itu tercampak ke dalam bekas ais atas meja berhampiran. Syukur tunang berjaya menemui semula cincin itu sebelum ia diambil individu lain yang sudah tentu tidak akan mengembalikannya semula.

“Saya sangat bertuah!” tulisnya dalam Twitter.

Bukan mudah bagi Zylka, 32, dan pasukan keselamatan mencari cincin terbabit berikutan kelab berkenaan luas dan boleh memuat seramai 7,000 pengunjung.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada awal Januari lalu dan Hilton turut berkongsi berita baik itu di Instagram.

Sementara itu, pasangan berkenaan mengesahkan hanya mengadakan satu majlis resepsi perkahwinan dan bukan tiga seperti dikhabarkan.

Hilton turut memberitahu tertekan menguruskan resepsi perkahwinannya yang akan berlangsung sekitar tahun ini.

“Saya tidak dapat bayangkan sekiranya melangsungkan tiga resepsi.

“Walaupun hari istimewa, tiga resepsi adalah terlalu banyak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 12:17 PM