LADY Gaga.
LADY Gaga.
Georgie Joseph

Dalam pada meniti kemasyhuran, penyanyi Lady Gaga mendedahkan banyak pengorbanan perlu dilakukan seiring dengan populariti diraih.

Gaga, 32, berkata populariti dan kejayaan mampu melukai orang tersayang serta menjejaskan hubungan peribadi.

Dia yang pernah bertunang dengan aktor Taylor Kinney jelas masih terkesan dengan perkara itu menerusi pendedahannya dalam satu wawancara baru-baru ini.

“Hubungan kekeluargaan boleh goyah, begitu juga persahabatan.

“Itulah harga yang perlu dibayar apabila popular,” katanya.

Penyanyi Poker Face terbabit bagaimanapun menyifatkan pengalaman itu menjadi sumber ilhamnya dalam menulis lagu.

Gaga berkata dia bergantung harap dengan pengalaman peribadi untuk menjiwai watak artis yang berdepan kesusahan dalam filem terbaru lakonannya, A Star Is Born.

“Saya tak boleh buat muzik atau berlakon tanpa menggunakan kesakitan yang ada dalam diri saya. Maksud saya, mana lagi saluran terbaik untuk saya curahkan semua itu?

“Ketika berkarya saya akan salurkan semua pengalaman lalu, dinamik dalam keluarga, hubungan, kesakitan, kebahagiaan, gembira serta liku hidup lain. Itulah yang akan mencipta keindahan dalam sesebuah cerita,” katanya.

Terbaru, filem lakonannya A Star Is Born bersama aktor terkemuka Bradley Cooper berjaya meraih kutipan lebih RM248 juta sebaik dilancarkan. Bukan filem itu saja, album runut bunyinya turut mengungguli pelbagai carta muzik.

Menurut penganalisis muzik di Amerika Syarikat (AS), album berkenaan berjaya dijual lebih 200,000 unit dalam tempoh seminggu saja selepas memasuki pasaran pada 5 Oktober. Angka itu belum termasuk penjualan lagu dan jumlah penstriman.

Untuk penstriman saja, album itu dijangka mampu meraih keuntungan lebih RM8.7 juta manakala penjualan album fizikal dijangka terus meningkat.

Album berkenaan mendapat pujian ramai apabila mengetengahkan lagu pelbagai genre termasuk muzik country dan R&B. Antara lagu yang dimuatkan termasuk Somewhere Over The Rainbow dan La Vie En Rose.

Tidak ketinggalan, lagu duet Gaga bersama Bradley yang pertama kali menyanyi iaitu Shallow turut memukau ramai pendengar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 8:01 AM