PENYERANG Kelantan Wan Zack Haikal (kiri) diasak pertahanan PDRM Kughegbe Onoriode di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, kelmarin.
PENYERANG Kelantan Wan Zack Haikal (kiri) diasak pertahanan PDRM Kughegbe Onoriode di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, kelmarin.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Amukan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kota Bharu kelmarin, seakan-akan memberi bayangan skuad yang baru beraksi dalam kancah Liga Super itu berada di landasan tepat untuk sekali lagi mengulangi kejayaan musim lalu apabila dinobatkan juara Liga Perdana.

Walaupun agak goyah pada aksi pertama ketika tewas 3-5 kepada LionsXII, mereka bangkit mengejutkan pasukan pilihan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dengan keputusan 1-0 di Stadium Shah Alam, sebelum The Cops meneruskan rentak kemenangan apabila memalukan Kelantan dengan 4-0.

Lebih manis lagi, kejayaan itu dilakar di depan 30,000 penyokong setia The Red Warriors yang sama sekali tergamam melihat pasukan kesayangan mereka tunduk menerusi jaringan besar.

Buat pengendali PDRM Azman Adnan, 44, kemenangan besar dicatatkan pasukannya di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, umpama mimpi yang sama sekali tidak terlintas di fikirannya.

“Bukan mudah buat mana-mana pasukan bermain di Kota Bharu dan keluar sebagai pemenang, namun pemain kami melakukan kejutan besar sehingga berjaya menjaringkan empat gol dalam perlawanan itu.

“Terus-terang, saya sendiri terkejut dengan kemenangan itu, tapi dengan apa yang dipamerkan, kami memang layak menang walaupun pasukan tuan rumah juga beraksi baik.

“Semangat juang tinggi di samping tidak mudah putus asa serta nilai-nilai kekeluargaan dalam pasukan ini menjadi kunci kepada kemenangan kami.

“Saya mahu sikap seperti ini terus dikekalkan ketika bertemu Selangor selepas ini,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Azman yang juga bekas penyerang utama Selangor dan kebangsaan itu berkata, pertembungan dengan skuad Merah Kuning pada 7 Mac nanti akan digunakan sebaik mungkin bagi mengukuhkan kedudukan pasukannya di carta liga dengan sasaran mengutip tiga mata penuh.

“PDRM bukan pasukan besar atau mewah seperti pasukan lain. Kami datang dari liga bawahan (Liga Perdana) dan jumpa pula pasukan hebat dalam liga utama (Liga Super). Saya mengenali pemain saya dan percaya mereka boleh mengejutkan sesiapa saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 6:56 AM