PEMAIN Selangor FC, Yazan Mousa Mahmoud Abu Al-Arab (kanan), dikawal pemain PDRM FC, ketika perlawanan Liga Super 2023, semalam. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PEMAIN Selangor FC, Yazan Mousa Mahmoud Abu Al-Arab (kanan), dikawal pemain PDRM FC, ketika perlawanan Liga Super 2023, semalam. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali PDRM FC, Azzmi Aziz akui keampuhan benteng pertahanan adalah kunci kejayaan pasukan mengejutkan Selangor FC dalam aksi terakhir pusingan pertama saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Jelas Azzmi, barisan pertahanan skuad The Cops beraksi cukup baik sepanjang 90 minit permainan biarpun diasak bertubi-tubi oleh jentera serangan Red Giants.

Hasilnya, PDRM berjaya keluar selaku pemenang selepas melakar kemenangan tipis 1-0 sekali gus mencipta sejarah menewaskan Selangor buat pertama kali sejak penubuhan pasukan itu.

"Hari ini (semalam) kita dapat peluang untuk gol walaupun tak banyak dan saya sangat berpuas hati dengan persembahan pemain yang bertahan dengan sangat baik," katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Dalam perlawanan terbabit, PDRM memilih taktikal bertahan dengan sesekali melancarkan serangan ke kubu lawan.

Ketika Selangor asyik menyerang, kelalaian benteng pertahanan akhirnya dimanfaatkan sebaiknya penyerang PDRM apabila Bruno Suzuki tenang merembat masuk gol pertama di minit 61 bagi memberi kelebihan buat pasukannya.

"Syukur untuk kemenangan dengan pasukan yang sangat besar, kita tahu mereka sangat bagus serta konsisten kerana baru kalah dua perlawanan pada musim ini.

"Buat masa sekarang, inilah pemain yang boleh tunjukkan kerana kita tahu PDRM kurang pemain yang berkualiti tetapi mereka sangat bekerja keras dan saya berharap pasukan ini akan lebih besar dan lebih ke depan," katanya Azzmi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 2:52 PM