ROSMADI (tengah) pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya.
ROSMADI (tengah) pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya.
Oleh Norizuan Shamsuddin


Kota Bharu: Pasukan The Red Warriors (TRW) ditagih beraksi cemerlang dan memenangi tiga perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV demi memperkemaskan kedudukan di dalam Liga Super.

Tiga perlawanan itu termasuklah dua yang ditangguhkan ketika Ramadan lalu iaitu menentang Sime Darby (Sabtu ini) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 28 Julai, manakala satu lagi menentang Perak dijadualkan pada 1 Ogos.

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menuntut pemain supaya menunjukkan kesungguhan dan bermain dengan aksi terbaik bagi membolehkan mereka terus selesa.

Naib Presiden KAFA Datuk Rosmadi Ismail berkata, beliau yakin TRW mampu bangkit berdasarkan prestasi cemerlang selepas menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-1 pada perlawanan lalu.

“Selepas kita mencapai kemenangan dengan PDRM, semangat pemain amat baik dan saya yakin mereka akan tampil cemerlang dalam dua perlawanan yang ditangguhkan sebelum ini.

“Kemenangan juga diperlu diperoleh pada perlawanan menentang Perak yang bakal berlangsung Ogos nanti. Jika momentum kemenangan ketika beraksi dengan PDRM dapat diteruskan, tiada masalah untuk kita mengatasi tiga pasukan lawan lain nanti.

“Bagi saya sembilan mata itu wajar diperoleh untuk kita meletakkan pasukan pada kedudukan selamat bagi mengelakkan tercicir daripada saingan Liga Super ini,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Pengkalan Chepa, di sini kelmarin.

Hadir sama, pengurus pasukan, Azman Ibrahim dan Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu (TRWKB), Mohd Zainy Mohd Zain selain pemain dan jurulatih.

Rosmadi turut memaklumkan bahawa KAFA menaruh harapan tinggi kepada pemangku Ketua Jurulatih, Zahasmi Ismail mengendalikan pasukan dengan baik selepas Mohd Azraai Khor Abdullah melepaskan jawatan baru-baru ini.

“Beliau sudah membuktikan keupayaan dengan kemenangan menentang PDRM dan kami yakin Zahasmi mampu menggalas tugas dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 11:27 AM