Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Kelantan menanam tekad memburu kemenangan ketiga ketika menentang PDRM di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Tekad itu disemat skuad kendalian George Boeteng kerana mahu menghadiahkan kemenangan kepada penyokong setia, terutama mereka yang menyambut Tahun Baru Cina.

Untuk itu, kapten The Red Warriors (TRW) Mohd Badri Radzi atau Piya (gambar) menuntut rakan sepasukan terus bermain secara konsisten seperti dua perlawanan terdahulu.

Badri berkata, dua kemenangan dicapai sebelum ini tidak menjamin kedudukan mereka, sebaliknya perlu kekal atau tingkatkan lagi momentum berikutan perjalanan Liga Super masih jauh.

“Pertemuan menentang PDRM kendalian Azman Adnan tidak boleh dipandang mudah sekalipun pasukan itu baru melangkah ke Liga Super daripada Liga Perdana musim ini.

“PDRM memiliki tiga import berbisa dan pergerakan dua penyerang mereka, Ali Ashfaq serta Dramane Traore perlu dirantai. Pemain tengah Mohamadou Sumareh juga berbahaya kerana mereka mampu menjaringkan gol.

“Benteng kebal mereka diterajui Muslim Ahmad perlu ‘ditembusi’ jika ingin menang. Mereka juga memiliki bekas pemain Kelantan, Nurul Azwan Roya yang tahu selok-belok pergerakan kami,” katanya.

Pemain bertubuh kecil, Wan Zaharulnizam Zakaria, 24, atau Kecik pula berkata, pertemuan dengan LionsXII, Ahad lalu seolah-olah tidak memberi kepuasan kerana gagal membantu Kelantan menambah jaringan selepas beraksi pada separuh masa kedua.

“Jika diberi peluang lagi, saya nekad membantu Kelantan mengucar-kacirkan jentera tengah serta pertahanan PDRM.

“Pemain seperti V Thirumurugan, Shahruain Abu Samah, Ahmad Ezrie Shafizie Sazali dan Mohamadou perlu diawasi supaya mereka tidak mudah membuat hantaran silang kepada Traore,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:23 AM