Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) mengidamkan tangga teratas Liga Super namun perlu berdepan tugas getir apabila berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi di Stadium Larkin, malam ini.

Apapun Johor DT menaruh harapan tinggi supaya Selangor mampu menjinakkan Pahang yang masih mengungguli takhta liga manakala skuad kendalian Mario Gomez yang beraksi di laman sendiri mampu melakar kemenangan ke atas anak didik Azman Adnan.

Bagi Gomez tugas itu tetap rumit sambil menyifatkan skuad The Cops adalah pasukan kuat dengan dibarisi pemain berkualiti terutama kelibat pemain import Ali Ashfaq, Dramane Traore dan Mohamadou Sumareh menjadi nadi utama pasukan itu.

“Saya tidak pandang rendah PDRM malah pasukan itu cukup hebat dengan kekuatan pemain import yang berkualiti malah mereka mampu beri tekanan kepada Johor DT jika kita bersikap sambil lewa pada perlawanan itu.

“Perancangan taktikal yang ampuh menjadi taruhan untuk memburu kemenangan walaupun terpaksa melupakan Patricio Rodriguez dan Hariss Harun yang mungkin diketepikan sekurang-kurang 20 hari.

“Kesempatan beraksi di laman sendiri memberi kekuatan kepada kita dan saya optimis pemain tidak rela rekod bersih tempat sendiri tercalar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 6:24 AM