PEMAIN import FELDA United Makeche Ndumba (kiri) mengasak pemain Perak Muhammad Ridzuan Azly.
PEMAIN import FELDA United Makeche Ndumba (kiri) mengasak pemain Perak Muhammad Ridzuan Azly.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Kelab Bolasepak FELDA United (FUFC) percaya Irfan Bakti Abu Salim mempunyai ramuan tersendiri untuk kembali membawa kelab itu berada pada landasan kemenangan apabila turun menentang PDRM esok.

Selepas mengharungi enam perlawanan, FUFC mengalami kekalahan pertama pada Sabtu lalu apabila tewas mengejut 1-4 kepada Perak sekali gus terlepas kedudukan teratas Liga Super.

“Banyak faktor menyumbang kepada kekalahan itu seperti keletihan pemain yang menyertai skuad kebangsaan dan tempoh rehat panjang menjejaskan rentak kami. Namun kami yakin pemain mampu mempamerkan kebangkitan,” kata Setiausaha Agung FUFC Zulkarnain Muhammad.

Kancah Liga Super menjadi harapan terakhir Irfan membawa pasukan kendaliannya melangkah ke saingan Piala AFC, seperti dihajati pihak pengurusan selepas tersingkir awal dalam kancah Piala FA.

“Saya tidak fikir moral pemain terjejas. Pihak pengurusan memahami situasi yang dialami Irfan Bakti (ketika menentang Perak) dan percaya beliau mempunyai ramuan tersendiri untuk mengekang PDRM.

“Lawan memiliki tiga pemain import berbisa (Mohamadou Sumareh, Ali Ashfaq dan Dramane Traore) yang perlu diawasi dengan ketat sepanjang perlawanan,” tambahnya.

Setakat ini, Traore muncul penjaring terbanyak Liga Super dengan lapan gol.

PDRM kini menghuni kedudukan teratas Liga Super dengan 12 mata dan berpeluang mengukuhkan kedudukan jika mengatasi lawan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang yang kini menghuni kedudukan kelima dengan 11 mata, berkongsi mata dengan empat pasukan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:01 AM