Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Selepas dua aksi ‘sepi’, penyerang Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dramane Traore memberi amaran untuk kembali menggegar apabila berdepan Terengganu pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

Traore penjaring terbanyak liga dengan lapan gol setakat ini gagal menemui sentuhan pada dua perlawanan terakhir menentang Sime Darby dan FELDA United namun penyerang kelahiran Mali itu tidak bimbang dengan prestasinya.

“Perkara biasa bagi seseorang penyerang, ada ketika prestasi turun naik. Tapi, saya tidak bimbang kerana percaya dengan kemampuan diri sendiri.

Bagi saya, kemenangan pasukan lebih penting. Jika tidak menjaringkan gol, saya tetap puas hati jika membantu kemenangan pasukan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

PDRM yang dikendalikan Azman Adnan pasti tidak bimbang prestasi jentera serangannya kerana memiliki barisan import lain yang boleh diharapkan termasuk Ashfaq Ali dan Mohamadou Sumareh yang silih berganti menghasilkan gol.

Skuad The Cops itu kini menduduki tangga keempat liga namun terus menghimpit tiga pasukan tangga teratas apabila mengumpul 15 mata namun mereka perlu mengalahkan Terengganu malam ini bagi mengelak daripada dipintas pasukan dari Pantai Timur itu.

Menurut Traore, perlawanan dengan Terengganu penting dan mereka tidak rela dikecewakan di gelanggang sendiri.

“Kami tahu Terengganu pasukan kuat, mereka juga mempunyai pemain import dan tempatan bagus. Tapi, kami sudah bersedia, keyakinan kami semakin meningkat.

“Perlawanan ini cukup istimewa untuk pasukan dan peminat dan kami perlukan kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:21 AM