AFP

Swansea, United Kingdom: Pengurus Manchester United Louis van Gaal meluahkan rasa kecewa kerana anak buahnya melepaskan peluang membalas dendam ke atas Swansea City apabila sekali lagi tewas 1-2 di tangan musuh sama.

Ander Herrera memberikan pendahuluan buat pelawat menerusi gol minit ke-28 di Stadium Liberty, tetapi Swansea menyamakan kedudukan dalam tempoh kurang dua minit menerusi pemain tengah Korea Selatan Ki Sung-yueng.

Swansea menghasilkan gol kemenangan ketika permainan berbaki 17 minit menerusi rembatan kencang Jonjo Shelvey yang terkena Bafetimbi Gomis, sekali gus gagal diselamatkan David de Gea. Kekalahan itu menamatkan rekod tanpa kalah United yang mencecah 19 perlawanan.

“Memang mengecewakan apabila anda tewas walaupun mendominasi perlawanan,” kata van Gaal.

“Itulah yang membuatkan anda lebih kecewa lagi. Jika lawan bermain baik dan layak menang, anda tidaklah begitu terasa dengan kekalahan menimpa.

“Pada babak pertama, saya rasa peluang kedua-dua pasukan seimbang. Saya mengira peluang yang kami cipta sama dengan mereka. Kedua-dua pasukan menjaringkan satu gol pada babak pertama dan bagi saya, itu bukan perbezaan ketara.

“Pada babak kedua, wujud perbezaan besar. Tapi, kami tidak begitu efektif. Kami mendominasi perlawanan walaupun ketika bermain dengan 10 orang apabila Robin van Persie tidak boleh berlari kerana kecederaan.

“Tiada apa yang boleh saya katakan mengenai pemain saya. Apa yang boleh kami katakan hanyalah kami tewas. Perkara lebih besar adalah kekecewaan yang kami rasa sekarang ini. Jika anda lihat gerak perlahan perlawanan ini, anda akan dapat lihat pemain mana yang tidak bermain baik.

“Ada kalanya anda perlu mengawal bola berbanding melepaskan rembatan. Biasanya kami sangat efektif dan itulah yang membuatkan kami terkejut apabila tewas.”

Van Persie terpaksa meninggalkan stadium akibat kecederaan manakala Wayne Rooney mengakui perlawanan itu pasti sukar untuk mereka lupakan.

“Kami patut menang,” kata kapten United itu. “Itulah yang mengecewakan. Anda bermain baik, tapi tidak boleh menang. Itulah bola sepak.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 7:17 AM