AFP

Istanbul: Bintang Portugal, Nani menyertai Fenerbahce dari Manchester United kelmarin dengan harga £6 juta (RM25 juta) ketika kelab gergasi Istanbul itu berusaha menambah pemain bintang luar bagi menghadapi musim baru.

Selepas mengikat pertahanan tengah Denmark, Simon Kjaer dari kelab Perancis, Lille bulan lalu, Fenerbahce dilaporkan semakin hampir mendapatkan khidmat penyerang Manchester United, Robin van Persie.

Nani, 28, pemain United sejak 2007, menghabiskan sepanjang musim lalu secara pinjaman di bekas kelabnya Sporting Lisbon dan tidak dijangka berada dalam perancangan pengurus Louis van Gaal pada musim baru.

Pemain sayap kelahiran Cape Verde itu tiba di lapangan terbang Istanbul dengan sambutan wira daripada penyokong Fenerbahce lewat kelmarin dan berjaya menjalani pemeriksaan perubatan kelmarin.

Beribu-ribu peminat hadir di Stadium Sukru Saracoglu bagi menyambut kehadiran Nani dan menyaksikan dia menandatangani kontrak tiga tahun.

“Saya amat gembira dan bangga menjadi pemain Fenerbahce mulai hari ini,” kata pemain Portugis itu.

Jelas teruja dengan sambutan hangat peminat, dia berkata: “Mulai sekarang, saya pasti melakukan keputusan tepat untuk hadir di sini. Ia satu peluang hebat.”

Nani tidak mahu berjanji namun berazam: “Saya akan memberikan seluruh jiwa raga kepada kelab ini. Saya akan memberikan yang terbaik bagi setiap perlawanan.”

Selama lapan tahun di United, Nani menjaringkan 41 gol dalam 230 penampilan. Dia menang empat kejuaraan Liga Perdana dan Liga Juara-juara di bawah kendalian bekas pengurus Alex Ferguson.

Sementara itu, rakan sepasukan Nani di United, Van Persie, 31, dijangka tiba di Istanbul hari ini bagi membincangkan terma peribadi, laporan akhbar harian Hurriyet.

Saluran NTV Turki pula menyatakan persetujuan awal sudah dimuktamadkan dengan Van Persie mengikat kontrak empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 9:42 AM