Oleh Lily Haslina Nasir

Rupanya elok bagai diraut,

Mata terbayang hati terpaut.

“Kenapa naik motor?” Tegur Puan Ramnah sebaik saja kelibat Chairil memasuki ruang tamu malam itu. Cukup bimbang dia apabila mengetahui Chairil tidak memandu ke pejabat. Kemalangan motosikal berkuasa besar dengan impak yang tinggi selalu membuat hatinya gerun.

“Senang naik kuda besi tu, mak. Kalau memandu leceh bila nak pergi balik ke site.” Wajah lelah Chairil hilang sudah siap mandi, solat dan duduk bersama-sama orang tuanya menikmati makan malam. Sengaja dia mencuit-cuit saja nasi di pinggan. Mahu dikosongkan sedikit perut malam itu. Dan, tiba-tiba dia teringat sesuatu.

“Pagi-pagi tadi ada budak perempuan cari abah.”

“Siapa?” Tanya Tuan Ramli yang sedang laju menyuap nasi berlauk asam pedas daging tetel dengan telur asin.

“Entah, tak ingat nama dia.” Bukan tak ingat, malas nak hafal! Perempuan mengada-ngada! Nama panjang berjela! Cemuh Chairil dalam hati.

“Pasal apa?” Puan Ramnah sama menoleh bertanya.

“Dia tersagat dinding masa nak naik parking. Dah langgar tembok dengan dinding, menonong saja tak berhenti. Tu yang Chairil tahan dia.” Cerita Chairil dengan muka yang terherot tanda tidak berkenan.

“Naik parking tu memang­lah! Siapa yang tak biasa, teragak-agak, mahu berdentum dekat dinding dengan tembok. Kadang-kadang kena sipi saja pun.” Reaksi Tuan Ramli biasa-biasa saja.

“Budak ni sudahlah tersagat dinding, ada ke panggil Chairil abang jaga parking. Suka hati dia, sedap mulut mak dia saja.” Spontan cerita yang satu itu terhambur di meja makan. Memang cukup dia tidak berkenan mengenangkan kejadian pagi tadi. Panas tidak fasal-fasal hatinya. Orang lain punyalah takut, sampai menggelarnya CR The Cougar. Yang minah ini sesedap mulut panggil aku abang jaga parking!

“Dia cari abah fasal apa?”

“Entah, kata nak lapor diri. Alih-alih jual nama abah. Kata nak cari Tuan Ramli.” Tercebik bibir Chairil menambah cerita.

“Nak lapor diri masuk kerja?”

“Allah! Itu anak perempuan Haji Imranlah kot! Abah lupa nak pesan dekat Chairil.” Tiba-tiba Tuan Ramli baru teringat. Hampir tersedak dia sewaktu menyuap nasi.

“Ya Allah! Kasihan dia... sampai tersagat dinding kereta ya?” Dan, Puan Ramnah turut sama mengalir rasa simpati–nya.

“Haji Imran? Siapa?” Terkulat-kulat Chairil. Eh, apa hal aku tak tahu apa-apa cerita ini!

“Kawan lama abah. Memang abah pelawa anak dia kerja dengan kita.” Beritahu Tuan Ramli sambil menggeleng beberapa kali. Allah! Sibuk punya fasal dia benar-benar terlupa memberitahu Chairil.

“Abah memang kenal ke?” Chairil semakin rasa syak yang bukan-bukan. Semakin rasa tidak selesa.

“Mahu tak kenal. Kau masa kecil-kecil dulu, kadang-kadang Haji Imran dengan orang rumah dia, Hajah Asmah tu yang jaga kau kalau emak abah oustation.” Cerita Puan Ramnah dengan ramah. Wajah menjadi bercahaya dan tidak tahu mengapa, di mata Chairil, emaknya itu macam jadi berselera pula tiba-tiba untuk makan malam.

“Masa tu kita semua duduk di Klang. Kau tak ingat. Kau bayi lagi.” Sampuk Tuan Razali.

“Allah... siapa nama budak tu. Hari tu ada dia datang masa majlis kahwin kita buat dekat Pengkalan Hulu. Tak sangka sanggup dia orang datang jauh-jauh.” Puas Puan Ramnah cuba mengingatkannya. Menambah jengkel di hati Chairil.

“Sofea.. errr Sofeatulaishah tak salah. Sedap nama budak tu.” Abahnya pula menyampuk dengan seribu kegembiraan pada wajah.

“Amboi!! Abah hafal nama anak orang tu!” Oh! Ini tidak boleh jadi! Memudaratkan hidup aku saja ni! Tak berkenan dengan budak mentah hijau tu! Budak perangai separuh masak!

“Mahu tak ingat. Masa dia lahir, Haji Imran mintak abah belah mulut anak dia.” Entah mengapa terasa mahu termuntah mendengar cerita abahnya. Oh! Mengapa ini bukan cerita rekaan ya!

“Errr... ya ke?” Dia semakin mual.

“Chairil tak perasan ya keluarga ni masa kenduri Busu Haris tu?” Emak pula seronok memanjang cerita. Sesenduk nasi sudah ditambah lagi ke pinggan.

“Entah. Tak ingat. Allah, dia orang datang tu bersebab! Dia orang tahukan, majlis kita buat tu bukan majlis anak mak abah. Majlis adik abah. San–gup tu datang tunjuk muka sebab nak minta kerja dengan abah.” Mukanya kering tanpa emosi waktu meluahkan rasa.

“Jangan buruk sangka! Jangan menuduh bukan-bukan. Buat dosa kering saja.” Jerkah emaknya yang baru menyedari ada riak dan gelombang di hati Chairil.

“Betullah mak. Orang sekarang, kalau buat baik tu mesti ada makna!”

“Chairil.... tak semua orang macam tu. Abah yang beriya-ya ajak dia orang datang. Kalau tak ada kenduri-kendara macam tu memang tak bertemu kami sejak berpuluh tahun. Pasal kerja tu pun, bukan dia minta. Abah yang paksa datang. Abah yang suruh. Kalau tak, memang tak mahunya Haji Imran. Takut termakan budi kata dia.” Panjang lebar Tuan Ramli bercerita namun hati Chairil sudah sedia sebal.

“Abah ni.... suka sangat tolong orang macam tu. Entah layak entah tidak budak tu.” Nada protes itu benar-benar menunjukkan rasa tidak puas hati.

“Dia pun masuk universiti. Bukan sekolah takat darjah enam!” Tegas suara abahnya.

“Err... macam tak percayalah. Betul ke dia tu anak kawan abah? Asalkan boleh saja dia tu. Macam clumsy. Dahlah panggil kita abang jaga parking, siap selamba dia saja minta kita tolong drive kereta dia sampai ke parking tingkat 20 tu.” Bibirnya diketap menahan geram. Tiba-tiba saja terasa mahu mencapai joran. Baru hilang rasa stres!

“Dah dia tak kenal Chairil. Jumpa kat mana?” Nada emak seperti membela perempuan itu.

“Kat parking.”

“Hah, betullah tu! Abang jaga parking!”

“Dia tak biasa kot drive parking kat tempat kita tu.” Abahnya juga seperti mahu menangkan budak perempuan itu.

“Huh! Memang payah nak bawa kereta antik dia tu.”

“Kereta antik apa?”

“Kereta Fiat lama.”

“Fiat? Warna putih?”

“Aha! Mana abah tahu....”

“Ya Allah! Kereta tulah dulu masa Chairil lima bulan, kena demam panas, mak tumpang minta bawakan ke klinik pukul tiga pagi. Abah outstation masa tu.” Nada suara Puan Ramnah mengejutkan Chairil. Allah!! Kenapa panjang sangat sejarah dengan minah ini! Tak berkenanlah!

“Erkkkk....” Dia semakin jengkel. Semakin mual. Mahu muntah rasanya!

“Apa ni! Banyak sangat nostalgia! Macam drama radio klasik nasionallah mak abah ni!”

“Mak cakap yang betul!”

“Si Sofea tu bawa kereta tu ke?” Tuan Ramli seperti tidak percaya dengan apa yang didengar. Di pejabat dia tidak sempat mahu beramah-tamah dengan Sofea. Lagipun biarlah kalau di Menara Rumah Manis, hubungan itu kekal profesional, atas dasar kerja. Bukan sebagai sahabat kepada ayah Sofea.

“Aha...” Suara Chairil mendatar tidak kuasa.

“SubhanAllah! Ada lagi kereta tu. Panjang umur Fiat tu!”

“Ajar dia apa yang patut, Chairil. Bagi peluang pada dia.”

Chairil mengangguk tidak, membantah pun tidak. Mukanya juga tiada sebarang emosi. Huh! Perempuan, kalau ditolong naik lemak, naik tocang nanti! Sendiri mahu kerja, sendiri mahu ingatlah! Sendiri belajar!

Kesejukan wap malam hilang ditelan kata-kata Chairil itu. Puan Ramnah menggeleng. Bagai boleh membaca segala yang terungkap di batiniah anak lelakinya itu. Seketika Chairil bagai lelaki yang punya ego sekeras dan setajam kerikil karang laut. Ada waktu lelaki itu penuh dengan limpahan kasih sayang. Sukar untuk diduga.

Hati gundah tidak terkata,

Di tempat orang diri terdera.

Rasa resah bagai masih tersangkut di dahan malam. Entah mengapa keruhnya hati tidak mampu disembu­nyi. Perasaan yang serba sebal masih ada. Angin dingin yang bertiup tidak mampu me­nguis gelisah yang lirih di hati. Manakan tidak, ketar lutut terasa lagi sepanjang mahu turun dari parkir tingkat 20. Lembik tapak kaki untuk memijak pedal minyak, brek dan klac. Air mata kalau tidak ditahan pasti berhamburan mengalir. Memandu kereta tua di dalam kesesakan di Jalan Yap Kwan Seng menambah serabut jiwanya.

“Macam mana?”

“Macam mana apa abah?” Sofea buat-buat bertanya. Dia sebenarnya malas untuk mengenang kisah siang tadi.

“Kerja. Hari pertama okay?”

“Hemmm....”

“Eh, baru sehari dah me–ngeluh?”

“Abah tak tahu ke kawan abah tu bos besar dekat Menara Rumah Manis?” Wajah itu lesu, menatap abahnya mencari jawapan yang satu.

“Siapa? Tuan Ramli?” Hajah Asmah menyampuk

“Siapa lagi mak....” Sofea menjawab malas. Perutnya lapar, badannya lesu, mata mengantuk. Tetapi semuanya serba tidak kena. Makan terasa berduri tekak. Sudah mandipun tidak terasa basah air di badan.

Hajah Asmah berkerut. Haji Imran tidak mengerti.

“Ya Allah menggeletar lutut Pia. Malu sangat.” Nada itu hampir mahu menangis sebenarnya.

“Kawan abah yang kita pergi kenduri dia dekat Peng–kala Hulu tu?” Sufian yang sedang menyiapkan kerja sekolah, macam biasa pasang telinga sebesar kuali dan menyampuk.

“Hah! Yalah... siapa lagi?” Bulat anak mata Sofea, dijegil­kan ke arah adiknya itu.

“Yang Kak Pia kata macam apek tu? Yang pakai singlet putih tu kan?” Sengaja adik–nya mengusik lagi.

“Yalah!!!”

“Tuan besar Menara Rumah Manis?”

“Banyak tanyalah dia ni!” Sofea membaling bantal kecil pada muka adiknya.

“Maknanya dia tu jutawanlah ya!!” Sufian sengaja membakar.

Sofea diam tidak menjawab. Huh kalau duit dia setinggi gunung sekalipun dalam bank, aku peduli apa!! Bukan aku mahu menumpang senang orang! Gerutu–nya di dalam hati.

“Hishh! Kak Pia siap kata dia agak-agaknya menyewa saja rumah kat situ.”

“Diamlah Pian!!”

Terkekeh-kekeh Sufian memandang kakaknya yang sudah merah padam muka.

“Sudahlah... sudahlah! Jangan nak bertengkar pula. Orang lain dah tentu jutawan, yang kita nak bertelagah kat sini, apa kita dapat.” Hajah Asmah meleraikan. Dia sebenarnya tidak faham gelora hati Sofea.

“Taklah mak, segan sangat Pia. Macam Pia pula terhegeh-hegeh minta kerja kat situ. Dahlah surat apa pun tak ada. Kereta tersagat kat dinding.” Sofea bercerita mohon pe–ngertian.

“Tak apalah. Nak buat macam mana. Itu mujur langgar dinding, redah tembok. Syukur tak langgar kereta orang.” Haji Imran seperti biasa tenang sahaja.

“Agaknya saja kot Tuan Ramli tak mahu cakap apa-apa. Dia tu dari dulu merendah diri.” Hajah Asmah membuat andaian sendiri. Dia sendiri terkejut dengan khabar yang didengar dari Sofea.

“Orang kat situ semua sombong-sombonglah, mak. Salam pun hujung jari. Macam tak ikhlas saja. Sampai mamat yang jaga parking pun berlagak semacam. Ikutkan hati dah menangis, tak mahu Pia kerja kat situ tadi. Semua kaki buli.” Suara Sofea menahan sebak. Dalam erti kata lain, kalau mak abah faham, Pia mahu berhenti kerja!

“Biasalah tu. Adatlah kalau orang baru masuk kerja. Kita orang baru, kenalah beralah. Belajar dan faham rentak orang lama macam mana.” Haji Imran memujuk.

“Pia rasa memang tiap-tiap hari Pia akan keluar pagi kot. Tak sanggup nak berebut de–ngan kereta lain masa nak cari parking. Takut menggelungsur kereta.” Memang mimpi ngeri dia hari pertama itu. Tuhan saja yang tahu betapa mahu meraung dirinya tadi sepanjang memandu pulang.

“Kalau tak boleh bawa Fiat tu, pakai kereta abah yang lain.” Hajah Asmah mencadangkan tukar kereta.

“Eh, tak apalah. Kereta baru kalau kemek di tangan Pia, lagi Pia rasa nak meraung nanti.”

“Kerjalah elok-elok. Cari pengalaman. Gaji jangan ditanya. Terpulang berapa yang nak diberi. Kalau boleh duduk dekat situ empat lima tahun.” Pesan Haji Imran sambil tekun menonton berita televi–syen.

“Hah?? Empat lima tahun??” Terbuntang mata Sofea.

“Kenapa?” Hajah Asmah terkejut dengan reaksi anak gadisnya.

“Hangus rentung agak­nya Pia nanti!”Sofea mengeluh panjang. Terasa ada beban batu terhempap di kepalanya.

“Hish! Orang muda belum apa-apa dah nak beralah. Bukan kena masuk hutan cari kayu, bukan kerja menoreh getah nak redah nyamuk, redah agas. Ni kerja pejabat. Jangan nak melompat-lompat kerja tak tentu fasal. Cari pe­ngalaman yang penting.” Tegas nada abahnya memberi peringatan.

“Betul tu Pia. Buat setiap kerja tu sungguh-sungguh. Biar ada kepercayaan orang pada kita.” Ibunya pula me–nyokong menambah debar yang tiada kesudahan pada Sofea.

“Rugi Kak Pia kalau berhenti. Eh, nanti kalau hari raya nak juga pergi rumah jutawan. Dia pula kawan abah, bos Kak Pia sekarang....”

Buntang mata Sofea memandang adiknya.

Aduhai! Payahnya! Sampai bila ya penasaran macam ni harus berterusan? Aku terasuh dalam dunia yang penuh lestari dalam tertib santun kata. Bagaimana mahu berdepan dengan manusia angkuh setiap hari?

Kata emak dan abah ini sementara. Tapi sementara yang panjang. Sampai bila ya? Sofea cuba menafsir warna bulan yang kian memucat dari kamar tidur. Wahai hati bersabarlah! Huh! Macam mana mahu ke pejabat? Terbayang wajah abang jaga parking! Terkenangkan Effa yang me–nyombong? Oh, payahnya!

Diri mengidam bunga berkilau

Bunga jauh di puncak gunung

Sayap malam yang bergerimis, tidak menghalang Firdaus untuk menyinggah ke rumah Chairil. Terhendap-hendap Firdaus sewaktu memasuki perkarangan rumah agam majikannya itu. Tidak sempat dia hendak menyorok apabila Puan Ramnah sudah terjegul di muka pintu.

“Nak ke mana ni malam-malam?” Tanya Puan Ramnah dengan seribu kerut di dahi.

“Err lepak kedai mamak dengan CR, Puan. Tuan Ram–li ada?” Sengihan saja yang mengiringi jawapan itu.

“Dah keluar. Bapak keluar, anak keluar. Lepak mamak? Apa ke hal pakai smart-smart malam-malam ni? Tu nak ke mamak atau ke kelab?” Meng–geleng si ibu dengan kerenah anak bujang. Menjaga anak bujang yang bernama Chairil Razlan benar-benar mencabar kesabarannya. Biar sudah besar panjang, ada-ada saja yang perlu diawasi.

“Err mamak. Betul Puan!” Tergagap-gagap Firdaus mahu meyakinkan.

“Sedap sangatlah air ta–ngan mamak ya? Macam tak kenyang ya kat rumah.” Sindir Puan Ramnah yang tahu sangat auta Firdaus yang bersekongkol dengan Chairil.

“Air tangan ma-ple ni lain, Puan!” Pantas dia memberi hujah baru. Biar dia tahu, tak laku ayatnya itu di depan Puan Ramnah.

“Jangan berdalih dengan mak cik! Nak ke mana ni? Minyak wangi macam dicurah sebotol kat badan. Takkan pergi mamak macam ni punya wangi.”

Allah! Kantoi!!

“Err.... ada interview staf baru”

Haishh! Apa aku mengarut ni! Firdaus sudahnya hanya mampu menayang sebaris gigi di depan Puan Ramnah yang tak habis soal siasat.

“Pukul sebelas malam?” Firdaus disergah lagi.

“Eh, bukan! Bukan! Ada deal dengan klien.”

Aduii!!! CR!! Mana kau!! Aku dah tak cukup nafas ni!

“Kalau lidah dah tergeliat sampai tersasul, tak payahlah nak bohong Firdaus!” Terang–kat kening Puan Ramnah tanda menyindir. Firdaus semakin lebar sengih, terketar-ketar dia di hadapan pintu. Ternampak saja kelibat Chairil, lega bukan kepalang diri–nya.

“Alamak! Bos! Tolong.... Puan tanya CR sajalah!” Firdaus semakin terkulat-kulat. Dada terasa bagai mahu roboh. Ya Allah! Jauhkan aku dari malapetaka! Tak fasal-fasal nak cover line bos kecil, aku kena turun pangkat!

Berdelah-dekah gelak Chairil melihat wajah Firdaus sudah pucat lesi. Jejaka itu selamba saja mukanya biar tahu angin emaknya sudah berpusar dan bakal menjadi taufan kalau mereka terus berdrama malam-malam hari ini.

“Ke mana ni?” Soal Puan Ramnah yang masih bersisa kesabarannya.

“Ada orang nak belanja makan mak.” Selamba saja Chairil. Wajahnya bercahaya sambil tersenyum-senyum nakal memandang emaknya.

“Siapa?” Sengaja Puan Ramnah memaksa anaknya berkongsi cerita.

“Entah. Tak ingat nama dia. Nama orang sekarang ni panjang sangat. Nama pendek Honey.” Namun Chairil lagi licik, jawapannya cukup untuk membuat emaknya mengetap bibir dan mengurut dada me–nyabarkan diri.

“Hahaha... cerah harapan minta hidup bermadu tu! Pagi petang siang malam orang asyik sebut madu, madu, madu...” Lancar saja Firdaus menyampuk. Satu jelingan tajam Puan Ramnah membuat–kan diri tergamam dan menggaru kepala.

“Suka sangat makan belanja orang perempuan.” Nada si ibu berbaur kesal.

“Bukan Chairil yang minta, dia orang yang beriya-ya ajak. Dia orang siap paksa. Kalau tak mahu merengek, sanggup datang cari ke pejabat. Lagi rimas.” Chairil membalas tanpa rasa bersalah.

“Tak elok. Jangan main-mainkan hati orang perempuan. Sampai bila nak hidup macam ni?” Puan Ramnah lembut memujuk hati anak–nya. Dia faham. Dengan Chairil, jikalau dia berkeras, semakin tinggi melangit ego anaknya itu.

“Macam ni apa? Chairil tak bersalah pun. Orang yang nak belanja.” Chairil mengenyit mata. Menggeleng Puan Ramnah memandang anaknya itu. Sudah bujang. Memang dia tidak mampu untuk menyekat langkah anak lelaki yang seorang ini.

“Selalu sangat makan duit perempuan. Tak elok. Mak tak berkenan. Malam ni Honey, kelmarin Gegirl. Dulu tu budak Effa di pejabat. Sebelum-sebelum ni Nini. Yang mana satu ni Chairil. Usung anak dara orang, ke hulu ke hilir. Marah mak bapak orang.”

“Nak buat macam mana mak... abang hot memang macam ni!” Pantas Chairil menyahut sambil menoleh dan tersenyum nakal ke arah Firdaus. Mengucap panjang Puan Ramnah mendengar jawapan si anak.

“Huh... Hotlah sangat ya! Ingat panas api neraka tu lagi tak tertanggung. Jangan buat bukan-bukan.”

“Mak, kalau Chairil buat bukan-bukan, dah lama agaknya Menara Rumah Manis tu kena sabotaj. Entah-entah ada orang dah cari emak abah kat sana.” Kali ini nada itu sedikit kendur. Puan Ramnah menghela nafas. Ada benarnya kata Chairil tetapi anak lelaki ini tetap perlu ditegur.

“Sampai bila nak macam ni? Buang masa, buang duit, dapat dosa, umur makin banyak. Cuba cari satu yang betul-betul.”

“Chairil bukan tak cari Puan. Dia nak cari, tapi tak sempat cari, orang dah beratur cari dia.” Firdaus pula masuk jarum. Ayat yang sentiasa menyokong bos kecil tidak pernah hilang dari bibirnya.

“Inilah masalahnya bila ada anak bujang sweet talker.” Bibir diketap sambil memandang susuk anak yang sudah bersiap-siap mahu keluar. Kunci kereta sudah dicapai.

“Tambah lagi satu mak.... anak bujang yang kacak, bukan?” Chairil yang nakal sengaja mengusik. Seronok dia apabila melihat wajah ibu merah padam menahan geram.

“Huh!!” Masam mencuka wajah Puan Ramnah bila Chairil membuat lawak. Firdaus semakin cemas. Bila nak pergi ni? Panjang lagi ke ceramah Puan Besar?

“Chairil pergi dulu ya, mak. Sayang mak!” Dahi dan tangan kanan Puan Ramnah dikucup mesra. Allah! Anak.... kau selalu macam ni! Kaulah racun, kaulah batu hempedu, kau jugalah air pergunungan yang mendi–nginkan!

Alangkah gusar dan geruh­nya hati Puan Ramnah memikirkan anak bujang nan seorang. Bidadari syurga! Kau datang dalam kabus mimpi. Wajah sejernih air di kali, tenang terhampar bagai jelapang langit. Kau berdiri di situ. Izinkan Chairil Razlan mencarimu. Ya Allah, aku serahkan semuanya kepada-Mu. Tidak perlu anakku menyaingi masa. Apatah lagi berebut dengan takdir. Biarlah semuanya hadir seadanya. Ya Allah, berkatilah hidup Chairil Razlan. Sembuhkanlah rasa patah hati–nya! Hapuskanlah dendamnya!

Bersambung

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 12:00 PM