Oleh Lily Haslina Nasir

Bagai berpakat ombak taufan,

Menguji hidup sehebat dugaan.

“Chairil nak cakap apa dengan mak?”

“Fasal Sofea. Nak mintak mak abah jumpa keluarga dia.”

“Eh, kan kami baru aje pergi rumah Pia.”

“Itu masa Chairil sihat. Sekarang dah jadi macam ni, Chairil ingat nak batal ajelah niat nak bertunang tu.”

“Ya Allah! Kenapa pulak? Belum pun lagi cuba berubat sana sini, kenapa dah nak beralah.”

“Bukan beralah mak. Masa Chairil suruh mak abah jumpa keluarga dia tu, memang niat ikhlas nak ambil Pia jadi isteri. Tapi itu masa Chairil sihat. Dah jadi macam ni. Terlantar macam ni, Chairil rasa berdosa kalau Chairil ikat Pia.”

“Astaghfirullah. Benda ni bukan perkara main-main Chairil. Waktu suka, pergi pinang anak dara orang. Bila rasa dah tak suka, mak abah mintak putus.”

Chairil diam menarik nafas dalam-dalam. Wajahnya kusut. Mata tajamnya hilang cahaya.

“Bukan tak suka mak. Chairil tak kata pun Chairil tak suka dia. Tak pernah. Sekuman pun tak ada rasa benci pada Pia. Tapi kalau dah Chairil nak bangun pun tak boleh, macam mana mak? Chairil rasa lebih kejam kalau Chairil buat Pia tertunggu-tunggu Chairil.”

Puan Ramnah tersebak. Segala yang mahu diucapkan bagai tersekat di rengkung. Kelopak mata terasa panas.

“Nak tunggu Chairil

baik tu bila mak? Takkan ada dok­tor yang boleh bagi ­jaminan yang esok Chairil boleh bangun, berjalan balikkan?”

“Chairil pulih nanti! Insya-Allah! Kita sama-sama usahakan.”

“Memanglah Chairil pun nak usaha jadi sihat. Tapi, mak tengoklah, nak pakai baju, nak menunduk sarung seluar pun Chairil dah tak mampu mak.”

Suara itu mendatar hiba. Tenggelam Puan Ramnah dalam rebas air mata di hatinya. Hiba jiwa mendengar suara anak berkeluh. Susuk yang sasa itu tampak lesu di matanya.

“Mak janji ya! Mak jumpa keluarga Pia. Mak sampaikan pada orang tua Pia. Chairil mohon maaf dunia akhirat. Chairil tak ada niat nak lukakan hati sesiapa. Chairil memang mahu Pia jadi isteri Chairil. Tapi kalau dah keadaan macam ni, tak apalah. Dah Allah tentukan. Chairil reda.”

“Biar mak bincang dulu dengan abah ya, Chairil.”

“Tak payah bincang mak. Lagi lama tangguhkan benda ni, buat Chairil rasa bersalah. Rasa berdosa.”

“Chairil patut bagi peluang pada diri sendiri.”

Segala pesanan anak bujang yang terlantar di hospital itu disampaikan kepada suami. Tuan Ramli terdiam beberapa ketika mendengar cerita isterinya.

“Kenapa nak tergesa-gesa?” Tuan Ramli terdiam seketika apabila khabar dari Chairil disampaikan oleh isterinya. Kembali berjumpa keluarga Sofea dan mohon batalkan segala janji. Semudah itu? Tuan Ramli berkerut mendengar penuh teliti pesanan Chairil itu.

“Tak tahulah saya.”

“Suka sangatkan ikutkan hati Chairil ni.”

“Saya dah pujuk.”

“Beritahu aje pada dia, saya yang tak sempat. Chairil pun tahu saya sibuk untuk uruskan hal di Pengkalan Hulu.”

“Tapi kalau ditakdirkan dia memang tak boleh sembuh macam mana ya bang?”

“Tak ada penyakit yang tak ada penawar. Kita kena yakin janji Allah SWT. Usaha dulu sebelum beralah.”

“Kalau ditakdirkan memang lumpuh.”

“Alhamdulillah. Kita bertuah diuji Allah. Itu tanda Allah sayangkan Chairil.”

Puan Ramnah tidak mampu menahan sebak. Pipi dan kelopak matanya berubah kemerah-merahan.

“Setiap rancangan Allah tentu yang terbaik untuk hamba-Nya. Manalah kita nak tahu. Kot selama ini ada titik bongkak di hati Chairil. Ada riak dan angkuh pada dirinya. Kalaulah tak diuji macam ni, mungkin kita pun tak mampu nak ubah Chairil. Kita doalah sama-sama. Sentiasa bersang­ka baik pada takdir Allah SWT.”

Nafas dihela dengan penuh rasa luka di hati. “Kita tunggu dulu apa cadangan doktor.”

“Chairil tu degil. Dia tak mahu. Dia dah kata lepas semua ujian MRI dia nak balik. Doktor nak tahan dia lagi

tiga minggu untuk drip antibiotik pun dia degil. Nak ambil sampel tisu pada tulang ­belakang tu pun dia berkeras tak mahu. Payahlah Chairil ni.”

“Tak apa. Dia masih tak tenteram. Fikiran dia bercelaru. Beri masa pada dia. Orang tengah marah, kita jangan ikutkan.”

Khabar Chairil yang sakit bertebaran di seluruh Menara Rumah Manis. Gelombang dan getarnya didengar segenap ruang. Di pejabat, tidak dapat tidak, Sofea tidak mampu mengelak. Nisa mengorek cerita. Huda sendiri memujuk dia berkisah tentang Chairil. Masing-masing menyerbunya untuk mengetahui kisah sebenar.

“Pia, betul ke kita orang dengar Chairil sakit teruk?” Soal Nisa pagi-pagi lagi sewaktu terserempak di lif.

“Err, tak pasti pulak.”

“Eh, Pia selalu temankan dia di hospitalkan?” Gadis itu benar-benar ingin tahu.

“Mana ada. Seganlah kita nak tunggu seorang diri ­dengan Chairil. Apa pulak kata orang tua dia.”

“Tapi Chairil cuti panjang ya?” Huda pula menyampuk.

“Siapa kata?” Sofea pura-pura tidak tahu. Namun

hati sangat bergetar. Terasa berdosa membohongi rakan rapat.

“Tuan Ramli sendiri yang beritahu kami. Dia suruh cari staf ganti untuk semua projek yang Chairil urus.” Sahut Huda seperti yakin dengan khabar angin yang didengar.

“Tuan Ramli nak suruh Chairil berehat kot.” Puas Sofea berdalih. Biarpun di hadapannya itu Nisa dan Huda yang memang rapat dengannya di pejabat, dia tetap berhati-hati. Tidak mahu khabar tentang Chairil tersebar gara-gara mulutnya.

“Ni semua sebab Chairil banyak kali tergelincir dan terjatuh ke? Dengar khabar dia macam tak boleh jalan ya?” Huda dengan spekulasi sendiri.

“Eh, taklah! Siapa cakap?”

“Rumours dah heboh.” Ujar Huda pantas.

“Insya-Allah! Dia tak ada apa-apa. Terseliuh sikit aje rasanya.” Dada Sofea semakin berdebar-debar apabila terasa dari meja hujung sana, mata tajam Effa merenung ke arahnya. Sofea pura-pura menyibukkan diri di meja­nya. Tepat seperti gerak hati, tiba-tiba sahaja kelibat Effa sudah terpacak di depannya.

“Sofea! Apa khabar bakal tunang you yang lumpuh tu?”

Sofea tergamam. Benar-benar terkelu lidah.

“Takkan nak sorok kot? Tak mahu kami datang ziarah ke? Sampai bila nak simpan cerita.”

“Minta maaf Effa. Saya tak tahu apa-apa. Saya bukan tunang dia pun.”

“Wow! Dahsyatlah manusia zaman sekarang! Mentang-mentang buah hati dah jadi kain buruk, terus tak ngaku tunang.”

“Saya dengan Chairil belum bertunang.”

“Hei, perempuan, dengar sini! Kau ni memang betina kaki kikis ya! Dah kau kikis, kau ni pembawa musibah kau tahu? Melekat malang kau tu pada Chairil. Memang kau ni choi!!”

“Ya Allah! Sungguh! Saya dengan Chairil belum tahap bertunang.”

“Kau jangan nak berdramalah! Jangan berangan diri tu artis sampai nak propa dengan orang dekat pejabat ni! Habis tu yang mak bapak si Chairil datang mengusung barang kemas bawak ke rumah mak kau tu apa kes?”

“Kami baru berbincang. Baru aje merisik.”

“Oh, sebab orang tu dah jadi OKU, dah lumpuh, terus kau tak mahu mengaku ya? Apa jenis manusia macam kau ni?”

Bibir saja yang terkumat-kamit sebelum diketap kuat-kuat dan rapat-rapat.

Ya Allah! Sabarkanlah hati ini! Ya Tuhan jauhkanlah aku daripada pertelingkahan yang mengaibkan ini!

Biarlah Pia! Biarlah! Pedulikan Effa.

Dalam terketar-ketar dan cemas dingin, Sofea pura-pura menyibukkan diri. Dia membiarkan Effa berlalu tanpa sebarang balasan

kata-kata. Berdiam itu lebih baik biarpun sangat melukakan.

Dari meja kerja Sofea jelas kedengaran sayup-sayup suara Effa terbahak-bahak ketawa bersama beberapa rakan kerja lelaki dari unit lain. Sofea tahu ada mesyuarat yang bakal dihadiri oleh unitnya bersama unit perolehan Menara Rumah Manis. Seharusnya Chairil yang hadir pagi itu. Sepatutnya lelaki itu mengetuai mesyuarat. Terkilas-kilas di mata Sofea bayangan Chairil. Susuk yang tinggi dan wajah yang serius tanpa ramah senyum itu tiba-tiba menjadi raut yang dirindui.

“Come on! Janganlah minum air batu, air bergas semua ni pagi-pagi! Bahaya tau!” Suara Effa manja menegur Malik, Yusri dan beberapa staf baru yang lain.

“Hah! Betul tu! You all muda-muda ni jangan ambik benda-benda sejuk sangat. Tak baik untuk kesihatan.” Ganesan turut sama me­nyampuk sambil berkongsi tip dan resipi makanan vegetariannya.

“Muda tak apa. Dah tua nanti kami kurangkan ais.” Ujar Malik yang memang menolak segelas teh tarik tetapi mencapai gelas air berkarbonat.

“Muda-mudalah kena jaga. Badan nak pakai lama! Kalau muda tak jaga, cepat reput nanti you punya urat dengan tulang.”

“Hah! Jaga-jaga! Bos kami yang muda pun dah jatuh sakit.” Effa separuh berbisik sambil mengangkat kening. Riak wajah yang sengaja menggamit gosip.

“Siapa?” Berebut-rebut Malik, Yusri dan yang lain bertanya.

“Our handsome Chairil Razlanlah!” Ujar Effa sambil mengenyit mata. Memberi seribu makna.

“Sakit apa?” Malik terkejut mendengar.

“Dengar cerita macam jadi lumpuh.”

“What??” Nada Malik jelas terpempan.

“Biar betul?” Yusri me­nyampuk tidak percaya.

“I dengar dari unit sumber manusia. Pihak sana yang sediakan guarantee letter untuk hospital pakar.”

“Eh takkan sampai macam tu.”

“Tak tahulah tapi itu yang I dengar.”

“Hish serius ya?”

“You all better watch out!”

“Tak sangkalah. Takkan sampai jadi lumpuh tiba-­tiba.”

“Badan macho maskulin belum tentu sihat zahir batin.” Effa mulai tertawa liar.

“Ouch deep!” Sanggah Yusri.

“Bahaya you! Bila dah jadi macam Chairil tu, muka handsome pun nak buat apa. Low testosterone and erectile dysfunction. Pity!” Effa menambah perisa pada gosip­nya. Tatkala itu Sofea melintasi mereka, membawa dokumen untuk ke tempat fotostat.

“Haha nanti kalau dah tak berfungsi, buah hati pun lari. Perempuan sekarang, abang ada wang, abang sayang. Abang sakit, abang melayang pergi jahanam!” Berderai gelak Effa. Memang sengaja mahu Sofea yang sedang berdiri di mesin fotostat terde­ngar perbualan mereka.

Cemuhan itu terhenti apabila Tuan Ramli muncul dan mereka pantas mengubah topik perbualan sebelum sama-sama masuk ke bilik mesyuarat.

Sofea sengaja memujuk hati yang tercalar dengan menyudahkan segala kerja yang sekian lama tertunda. Beberapa hari bercuti me­nyebabkan dia tidak mampu untuk meninggalkan komputernya biarpun hanya untuk makan tengah hari. Lewat petang baru dia pulang ke rumah sebelum bergegas bersiap-siap untuk ke hospital.

“Mak, Pia ambil sikit lauk dengan nasi ya.”

“Ikan parang asam pedas tu panas lagi. Baik-baik takut tertumpah.”

“Mak ada tumbukkan daun tembaga suasa. Cubalah sapu dan ratakan pada mana-mana yang dia rasa tak selesa tu. Bagus daun tu untuk pulihkan masalah sendi atau saraf.”

Sofea mengambil bekas lauk, nasi dan satu lagi bekas berisi daun tembaga suasa.

“Mak, entah dia mahu entah tidak mak nak sapu ubat-ubat macam ni.”

“Kita ni ikhtiar. Daun ni jenis herba. Memang elok kalau orang yang patah tulang, retak tulang atau ada masalah sendi dengan saraf. Tak rugi cuba.”

“Bukan Pia tak percaya. Chairil tu maksud Pia. Entah mahu entah tidak pandang muka Pia. Telefon pun

dah tak berjawab. Serba-salah Pia.”

“Tak usahlah ambil hati. Orang tengah sakit, perasaan tu tak menentu. Hati

tak tenang, tidur pun mana lena sangat.” Pujuk Hajah ­Asmah yang sangat mengerti penasaran anak perempuannya.

“Tengoklah kalau Chairil mahu, abah pun dah cuba-cuba tanya orang yang pandai fasal ubat orang lumpuh ni. Kita cuba semua. Sambil berubat dengan pakar di hospital, kita usaha sekali cara kampung.” Sampuk Haji Imran.

Sofea mengangguk tanpa sebarang kata. Semua orang boleh mencadangkan tapi hati Chairil sukar diduga. Entah mahu entah tidak.

Di hospital, di kamar yang suram itu hanya bunyi televi­syen sahaja menguasai ruang.

“Kenapa datang?”

“Habis tu Pia tak boleh datang ke?”

Chairil diam. Dia memaling­kan wajah ke dinding. Sofea memandang meja kecil yang di tepi katil. Lauk hospital tidak berusik. Di meja makan yang beroda ada mang­kuk tingkat. Selamba Sofea membukanya. Ada nasi, sambal goreng dan sup ayam yang masih panas.

“Abang tak makan langsung ya?”

“Tak lapar.”

“Makanlah sikit.”

“Makan pun nak buat apa?”

“Ya Allah, makanlah sikit.”

“Payah nak makan. Nak tegakkan badan pun sakit.”

“Tadi mak dengan ayah abang datang bukan?”

Chairil mengangguk.

“Kenapa tak makan waktu emak abah abang datang.”

“Abang yang tak nak.”

“Habis tu langsung tak mahu makan ke?”

Sofea mulai rimas dan menarik nafas panjang. Allah! Kau berikanlah kesabaran buat aku. Sakitnya Chairil umpama ujian buat aku! Sofea memujuk hati sendiri.

Mereka diam beberapa ketika sambil Sofea mengemaskan ruang meja makan yang beroda itu. Tisu-tisu kotor dibuangnya. Kopi panas dibancuhnya dan dibubuh sesudu madu.

“Abang makan sikit ya?”

Chairil terus diam.

Sofea terduduk, pura-pura memandang skrin televisyen yang tergantung di dinding. Namun perasaannya semakin merusuh. Dia dan Chairil terasa seperti orang yang sangat asing. Sofea memandang ke tepi besi katil. Oh, ada tiub urin yang sudah disambungkan pada

beg pundi kencing. Allah! Beratnya ujian untuk lelaki muda ini! Hatinya luruh namun kebisuan Chairil sangat menyakitkan.

“Abang tak mahu bercakap dengan Pia, biar Pia balik dululah!” Dia mencapai kunci kereta dan tas tangan kecilnya.

“Pia.....”

Sofea menoleh. Chairil memandang sayu ke arahnya. Sofea pantas berpaling ke hujung kaki Chairil yang sentiasa ditutupi selimut. Rasa aneh dan gementar apabila Chairil merenungnya begitu.

“Abang nak makan. Memang abang tunggu Pia datang.”

“Allah!” Hanya itu yang terucap pada bibir Sofea. Lega. Alhamdulillah.

“Tapi abang tak boleh bangun.”

“Abang nak tegakkan badan sikit ke? Pia letakkan bantal pada belakang abang.”

“Pia kuat ke nak angkat abang?”

“Pia mintak tolong nurse ya.”

Lelaki itu mengangguk tidak membantah. Ada kelegaan pada Sofea melihat cahaya di wajah Chairil.

Dua jururawat dengan berseragam biru manis memberi salam dan masuk ke bilik itu sewaktu loceng ditekan.

“Assalamualaikum Puan.”

“Waalaikumsalam.”

“Puan isteri Tuan Chairil ya?”

“Err...” Tidak sempat menidakkan, jururawat yang bertahi lalat di pipi itu pantas memberi pesanan.

“Puan kena pujuk suami puan cuba untuk bergerak ya. Tak boleh baring macam ni aje. Takut nanti kena bed sore. Payah nanti kalau dah ada luka dekat kawasan tu. Yalah, bila terbaring aje, nanti melepuh kulit sebab tekanan pada bahagian punggung dengan belakang badan.”

Sofea terkelip-kelip mendengarnya.

“Sambil-sambil duduk bersembang, puan boleh lapkan badan suami. Balik-balikkan badannya. Biar sekejap ke kiri, sekejap ke kanan ya! Jangan biar lama sangat pada satu tempat.”

Kali ini Sofea semakin terasa mahu tersedak. Lapkan badan Chairil? Oh! Tidak!!

“Sesekali Puan kena urut kaki suami puan. Takut kejang terus otot-otot tu. Tuan Chairil kena tahan sakit sikitlah ya.... Kena paksa diri, gerakkan badan. Tiap pagi memang orang kita dah bantu Tuan Chairil buat fisioterapi tapi tu tak cukup. Kena ada bantuan daripada famili. Berhari-hari terbaring nanti tambah keras badan.”

“Oh!” Semakin tidak tahu apa yang wajar dilafazkan oleh Sofea. Chairil sendiri terdiam sambil membiarkan tubuhnya dikemaskan kedudukan untuk bersandar pada kepala katil.

“Puan kerja ya?”

“Aha.”

“Sabarlah Puan. Dugaan ni. Jaga suami sakit ni satu ibadah. Kita diberi ruang kumpul pahala. Tak apalah. Kalau tak ada masa belah pagi, cuba bantu suami

puan belah malam ya. Beg urin tu kalau dah penuh kena beritahu kami ya.

Kalau biarkan nanti boleh kena jangkitan pulak dekat situ.”

Merah padam wajah Sofea apabila mendengar kata-kata jururawat yang bertag nama Masnah. Boleh kena jangkitan pulak dekat situ. Ungkapan itu buat Sofea termalu sendiri. Malu berganda sebenarnya! Sudahlah dirinya difikirkan isteri Chairil.

“Assalamualaikum, puan, tuan! Ada apa-apa tekan aje loceng tu ya!”

“Walaikumsalam. Terima kasih!” Spontan serentak lafaz Sofea dan Chairil. Masing-masing tergamam ­dengan pesanan demi pesanan dari Masnah.

Sofea cepat-cepat keluarkan pinggan nasi, sudu dan lauk yang dibawa. Dirapatkan meja makan beroda itu ke dada Chairil.

“Abang makan sikit, Pia suap perlahan-lahan ya.”

“Pia, abang mintak maaf.” Jari Chairil yang masih memegang tisu digunakan sebagai pelapik menolak tangan Sofea.

Gadis itu terhenti menyuapkannya nasi.

“Abang tak akan mampu jadi tunang Pia yang meng­gembirakan Pia. Jauh sekali dari jadi suami Pia. Kalau Pia nak cari orang lain tak apa. Abang faham. Kita masih boleh berkawan bukan? Abang doakan Pia jumpa lelaki yang lebih baik daripada abang.”

“Apa merepek ni?”

“Realiti kan Pia. Abang sekarang lumpuh! Pia nak tunggu ke lelaki macam abang jadi suami? Pia nak sia-siakan ke hidup Pia untuk abang kalau sakit macam ni!”

Suara Sofea tersekat. Mata terasa berpasir. Hangat dan akhirnya terasa basah pipi.

“Pia, jangan nangis. Pia nangis, abang lagi sedih. Kalau hati ni umpama sebutir pasir, abang rasa hati abang sekarang dibelah tujuh! Kenapa? Tak apa.. biar abang simpan sendiri rasa sedih abang. Abang tak mahu aniaya Pia. Abang memang sayang Pia!”

Semakin luluh hati Sofea mendengar rintihan Chairil. Tuhan! Kau uji kerana Kau sayang bukan? Tuhan, aku sentiasa bersangka baik pada ujian-Mu! Dugaan Kau kirim ini aku sambut dengan hati reda, pasrah dan penuh kasih sayang!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 1:39 PM