Fikiran Sofea bersimpang-siur senja itu. Terlalu banyak perkara yang difikirkan. Sampai bila mahu begini? Apa penghujung nasib aku di Menara Rumah Manis? Ya Allah, aku cuma mahu mencari rezeki. Kalau kehadiran aku di Menara Rumah Manis, hanya membawa mudarat pada jiwa dan perasaan, insan lain, kau berilah aku kekuatan meninggalkan tempat itu. Bukakanlah peluang dan rezeki aku seluas-luasnya di tempat lain.

Akal nan waras terus memujuk diri untuk tabah berdoa. Kalbu penuh rasa yang kelabu. Masa hadapan di Menara Rumah Manis bagai tidak pasti. Namun jeritan batin bagai berdenting-denting di relung hati. Antara hatinya dengan hati Chairil, ada rasa yang belum tuntas. Ada kisah yang tidak terungkap ceritanya.

“Abang tak pernah anggap Pia escort girl abang. Kalau Allah SWT izinkan, abang nak kita sama-sama di jannah nanti.”

Berulang kali Chairil di hospital tadi melafazkannya. Cuba meredakan gelora di dalam jiwa. Tapi entah mengapa, hatinya sudah kehilangan deria rasa. Semua bagai tawar tidak bergula. Senyum Chairil umpama pelangi hilang warna. Tiba-tiba sahaja hatinya keras dan kejam. Janjinya untuk menghantar Chairil pulang selepas keluar hospital tidak dikota.

“Tak manis pun Pia nak kena hantar abang. Tak apa. Pia dah telefon driver Tuan Ramli. Puan Ramnah, emak abang pun Pia dah beritahu. Lagi lima belas minit Pak Man datang jemput abang.”

Itu kata-katanya waktu di hospital tadi. Dia melafazkannya tanpa memandang wajah Chairil. Biarlah! Biarlah! Lelah jiwa bila asyik beralah. Sofea dengan sopan dan tertib mohon untuk pulang ke pejabat.

“Nak ke pejabat? Ada apa? Dah lewat ni. Daripada patah balik ke pejabat, baik hantar abang pulang.” Chairil sedikit merengus.

“Pia tertinggal laptop. Tadi kelam-kabut. Tak apa. Abang jaga diri okay. Nanti Pak Man datang jemput.”

Chairil terkaku. Hanya gerak matanya sahaja mengekori langkah Sofea. Tiba-tiba sahaja terasa dirinya bagai harimau hilang taring. Bibir jadi kelu untuk memujuk.

“Pia... Pia....” Sofea langsung tidak menoleh, jauh sekali berpatah semula.

Chairil tersandar di katil. Seharusnya dia gembira untuk keluar dari penjara hospital. Tapi yang terjadi sebaliknya. Chairil menarik nafas panjang, mencapai telefon. Suara emak di hujung sana girang. Betullah! Pia sudah siap menelefon Pak Man dan emak di rumah.

Sofea!! Ada rusuh di dada. Kalaulah kau tahu Pia! Aku lupa cara untuk senyum, aku tidak ingat bagaimana harus bermanis kata apa lagi tertawa di hadapan perempuan selama ini. Dan aku tersangat lupa bagaimana cara mencintai perempuan seikhlas hati. Pia, kau yang ajar aku semua itu!

Chairil terus bungkam sambil menanti Pak Man sampai.

Untuk kali pertama, hati Sofea menjadi batu. Tidak sedikit pun boleh dipujuk. Tanpa peduli sesak dan selirat jalan raya lewat petang itu, Sofea tetap singgah ke pejabat semula.

Demi mengejar masa dia tergesa-gesa mengemas meja dan mencapai beg komputer ribanya. Tiba-tiba Nisa singgah ke mejanya.

“Kenapa Pia balik? Bukan Pia hantar pulang Tuan Chairil?”

“Dia tu bukan ke ada driver. Skop kerja kita mana ada sampai kena jadi supir bos!” Balas Pia sambil angkat kening. Nisa yang lurus bendul mengangguk.

“Oh, patutlah Effa pesan I kalau Pia balik pejabat, dia tunggu Pia. Nak jumpa.”

“Effa nak jumpa?” Pia berulang kali bertanya. Nisa tanpa sebarang curiga, tanpa mengetahui kisah hujung pangkal menyampaikan pesan. Sofea mengangguk. Dia tidak berminat untuk berkongsi kisah di hospital tadi dengan Nisa. Letih!

“Effa, kalau setakat kita nak bergaduh, nak bertarik rambut sebab lelaki, sorry! Saya tak berminat. Tak classy langsung bergaduh sebab lelaki.”

“Hei, jangan nak tunjuk muka bidadarilah depan aku! Damn stupid! Kau ingat aku bodoh!”

Sofea tetap berusaha untuk tenang. Cuba untuk tidak menunjukkan walau segaris emosi. Dia tahu dia akan kalah kalau dia menunjuk riak wajah takut.

“Kau dengar sini! Selagi aku masih ada di Menara Rumah Manis, kau jangan berangan-angan nak mendivakan diri depan bos ya! Aku kerjakan kau sampai lunyai nanti!”

“Effa, saya tak ada buat apa-apa pun! By all means, silakan... sila rebut hati Chairil. Tapi err saya rasa Effa sendiri ada masalah hati. Effa cemburu ya? Jealousy is a mental cancer. Get well soon, dear! Cuba ubatkan hati dengan solat. Ni nak dekat Maghrib. Saya nak cepat. Assalamualaikum, Effa!”

Gadis itu tenang setenangnya. Sejuk, sesejuknya! Macam air batu nan beku. Sofea berlalu pergi dengan muka yang sangat bersahaja.

“Huh!! Bodoh!! Kurang ajar! Kau jaga Pia!! Betina tak sedar diri. Rupa buruk, dahi jendul! Kau suluh muka kau dekat cermin, Pia! Aku gulaikan kau nanti!!!”

Jerit Effa di dalam bilik seminar itu tanpa peduli kalau ada rakan pejabat di luar yang mendengar. Dendamnya berkesumat. Ikutkan marah, mahu saja dia menghumbankan kerusi meja Sofea ke luar tingkap menara itu!

Nisa yang masih belum pulang terkejut bukan kepalang. Dia dengan wajah terpinga-pinga melihat Sofea tenang melangkah keluar dari bilik seminar itu.

“Pia! Kenapa tu? Effa mengamuk ke?” Tanya gadis itu yang sudah mencapai kunci keretanya.

“Hei, Pia! What’s wrong? Perempuan itu I rasa kena pergi jumpa pakar sakit puanlah! Selalu ada masalah hormon tak seimbang!” Ganesan yang masih belum pulang turut berebut-rebut bertanya. Tebal sepuluh inci rasa kulit pipi Sofea. Malunya bukan kepalang.

“Taklah. Dia tak berapa sihat kot.” Sofea masih lagi cuba berlapik dengan senyum kelat pada wajah.

“Kau ni biar betul tak ada apa-apa? Minah tu menjerit sampai boleh retak cermin. Dia marah kau lagi ke?”

“Biarlah dia. Kalau kita lawan, kita pun sama macam dia.”

“Bila Chairil tak ada, Firdaus pun tak ada, memang Effa ni ambil peluang lepas geram pada kau, Pia. Kau perasan tak?”

Nisa terasa bagai mahu menepuk dahi. Seribu rasa kesal menghambat hatinya. Silap dia menyuruh Sofea menghadap Effa seorang diri. Tidak terfikir itu adalah saat Effa mahu memuntahkan lahar amarahnya.

Usai solat Maghrib di rumah, Sofea sengaja beralasan dengan emaknya untuk ke pasar malam. Hati yang hangat dan berkecamuk perlu dipujuk.

“Pia, tadi bos Pia telefon.”

“Hah? Bos? Tuan Ramli ke?”

“Bukan. Anak bujang dia tu.”

“Ahaa, Kak Pia. Abang CR tu telefon banyak kali tadi masa Kak Pia pergi pasar malam.”

“Apa masalah dia? Eh, sejak bila pulak dia jadi abang Pian! Tak payahlah nak berabang-abang dengan dia tu!”

“Dia telefon banyak kali. Tak sampai sepuluh minit telefon. Ada hal penting kot.”

“Macamlah Pia seorang saja staf dia dekat Menara Rumah Manis tu! Saja nak buat kecoh telefon Pia sampai ke rumah.”

“Pia ni, jangan garang sangat. Dengan Haziq pun macam sombong. Ini dengan bos sendiri pun nak tunjuk keras kepala. Kita bekerja makan gaji ni kenalah tahu diri kita tu siapa.”

“Mak ni tiba-tiba saja nak sebut fasal Haziq buat apa? Betullah Pia cakap. Bos yang macam Chairil tu sesekali nak kena ajar sikit. Penat Pia nak ikut cakap dia. Serba tak kena dibuatnya. Kalau payah sangat, memang Pia nak cari kerja lainlah.”

“Ni kenapa riuh-riuh sangat ni? Nak cari kerja lain? Abah rasa dah lebih 44 kali Pia sebut nak berhenti dari Menara Rumah Manis tu.”

Sofea terasa tercekik menelan liur sendiri.

“Apa yang tak kena? Bila pulak Chairil tu buli Pia. Elok aje dia bercakap dengan abah masa abah jawab telefon tadi.”

“Alah, dramalah tu bila bercakap dengan abah. Siapa yang tahan kerja dengan Chairil tu! Banyak perintahnya.”

“Bukan abang tu baik dengan Kak Pia ke?”

“Alah, baik sebab nak khadamkan staf! Biasalah tu perangai bos-bos besar ni!”

“Yang Pia tak jawab telefon dia kenapa? Dia baru keluar hospital, bukan?”

“Err, mana ada Pia tak jawab. Bateri telefon habis. Pia pergi pasar malam takkan sibuk nak jawab telefon. Jenuhlah mak kalau Pia tengah beratur nak beli apam balik pun nak kena bincang dengan bos hal pejabat.”

Tangkas Sofea memintas kata-kata abah dan emaknya.

“Manalah mak tahu kerja kau. Mak bimbang entah ada hal penting. Chairil tu berkali-kali telefon tadi.”

Huh, mengada-ada kau, Chairil! Depan emak abah aku bukan main kau berbudi bahasa!

Sofea mencemuh di dalam hati. Namun dia benar-benar tergamam apabila melihat jumlah panggilan yang tidak berjawab sepanjang tempoh dia ke pasar malam. Ada 18 panggilan. Dan dari Chairil sahaja 16 panggilan! Sofea semak mesej. Tengok tingkap hijau Whatsapp. Semuanya banyak pesanan dari Chairil.

“Sampai hati Pia ya! Janji nak hantar abang balik.”

“Eh, Firdaus ada, kan? Kalau Firdaus tak ada pun, abang boleh suruh driver pejabat datang ke hospital. Abang tu bos bukan? Kalau terdesak sangat pun, abang boleh bayar duit ambulans untuk hantar abang balik! Apa masalah?”

Laju tangan Sofea menaip mesej. Segala amarahnya masih bersisa lagi. SEND! Puas hatinya apabila sesekali dapat peluang bersuara begitu.

“Sampai suruh abang balik dengan ambulans? Kenapa tak suruh naik van jenazah aje!”

“Pia tak sebut sampai ke situ. Tapi kalau abang selalu ingat kematian, alhamdulillah! Zikrul maut! Ingat akan mati. Itu pesan Rasulullah saw sendiri.”

Terbeliak Chairil membaca mesej Sofea yang satu itu. Hatinya benar-benar tersinggung. Sejak bila gadis manis ini berubah cara bertutur?

“Sampai hati! Doakan abang cepat mati, ya?”

“Abang ni masa sekolah gagal subjek kefahaman ke? Ada ke Pia sebut nak doakan abang cepat mati?”

Sofea semakin laju menaip mesej. Hatinya geram berbaur sebal. Huh! Hati dia aje yang tahu terluka! Penatlah nak jaga hati kau aje, Chairil!

“Sejak bila Pia bercakap macam ni ya? Pia dah tak macam yang abang kenal dulu.”

“Tak apalah. Abang belajar untuk diam. Pia belajar untuk bersuara. Kita berubah ke arah kebaikan masing-masing.”

Untuk beberapa saat Chairil terjeda. Jutaan kata-kata bagai berbaur di udara. Tidak terluah.

“Assalamualaikum, abang. Pia ada kerja sikit.”

Sofea menghentikan sesi berbalas mesej dengan berlapang dada. Aku menang! Itu yang terbayang ketika itu. Wajah Effa ketika bersama Chairil di katil hospital masih tidak dapat dikikis dari ingatan.

Sinis tajam jelingan Effa masih terbayang-bayang dalam fikiran. Meluat! Terngiang-ngiang nada mengada-ada Effa apabila bercakap dengan Chairil. Dan paling tidak mampu dilupakan apabila Effa bertempik di pejabat tadi.

Huh! Dasar perempuan mulut macam muncung itik! Sofea memilih untuk terus tidur awal. Dia sudah berkira-kira. Selepas bersarapan esok pagi dia mahu ke Melaka. Lantaklah kalau orang mengata! Dia tak peduli. Dia mahu ambil cuti kecemasan. Lama sungguh tidak pulang ke rumah nenek sebelah emaknya itu. Dapat pulang sekejap pun jadilah! Kepalanya sudah cukup kusut dengan seribu masalah pejabat.

*****

Malam itu Chairil menggelisah tidur. Badannya masih rasa sengal-sengal. Batuknya masih belum reda lagi. Setiap kali batuk menyergah, urat pinggangnya bagai direntap.

Ya Allah! Apakah ini kifarah untuk aku? Tuhan, mengapa aku rasakan angin berhenti berhembus. Mengapa api umpama hilang bara dan panasnya? Air kusentuh hilang rasa! Ya Allah! Aku sujud pada keagungan-Mu. Tanah kupijak penuh nestapa. Apakah aku akan kehilangan kudrat?

Chairil terkaku. Hasrat berkongsi jiwa, bersatu kalbu, seperti berkecai menjadi perca-perca kain lusuh yang penuh carik!

Sunyi merasuk sehingga ke detak jantung. Sakitnya sukar diungkap. Dia memandang keliling. Kegelapan menyelinap segenap rongga. Terasa masa merangkak mencari siang.

*****

Pagi itu lengkung pelangi cantik melintasi penjuru alam. Bagai gelongsor di celah renda-renda awan. Hujan yang deras baru saja selesai. Dinginnya meresap segenap penjuru alam. Terleka seketika Sofea memandang ke langit sewaktu sedang berkemas-kemas barang untuk dimasukkan ke kereta.

“Pia ke Melaka ni lama ke?” Tanya Hajah Asmah yang terkejut tiba-tiba sahaja anaknya kata ambil cuti dan mahu balik kampung.

“Petang ni baliklah mak. Boleh Pia bawa balik durian sikit. Pia dah telefon Busu Siti. Dah pesan pada dia. Simpan durian sikit kalau ada yang baru gugur.”

“Tak jadi hal ke tiba-tiba aje Pia ambil cuti kecemasan ni?” Tanya ibunya lagi.

“Selama kerja ni Pia tak pernah cuti sakit lagi, mak.”

Sewaktu kereta kotak mancis Pia hendak mengundur keluar pagar tiba-tiba sebuah BMW X6 bercermin gelap, membelok masuk di hadapan rumahnya. Sofea tergamam. Hajah Asmah terpinga-pinga. Haji Imran yang masih berkain pelekat meninjau ke luar pintu.

“Apa hal ni?” Sofea memandang melalui cermin sisi kereta buruknya. Itu kenderaan rasmi Tuan Ramli yang dipandu oleh Pak Man. Jantung Sofea terasa berdebar kencang. Dia melihat ada kelibat lelaki keluar perlahan-lahan dari kereta itu. Chairil!!

“Assalamualaikum, mak cik! Assalamualaikum, pak cik!” Chairil seperti tiada sebarang kejutan berlaku menyapa sopan dan mesra.

“Waalaikumsalam!” Serentak jawapan orang tua Sofea.

“Minta maaf saya datang awal pagi ni. Ada hal penting dengan Sofea. Hal pejabat. Saya cuba telefon tak dapat.” Ujar Chairil sambil bersalam dengan Haji Imran dan kemudian menjeling ke arah Sofea yang masih di dalam kereta. Sofea mengetap bibir geram.

“Ya Allah, betul ke? Chairil baru keluar hospital bukan? Mak cik dah beritahu Pia. Semalam Chairil cari. Pia, tak telefon balik ya? Mak dah pesan semalam!”

Semakin bergaris kerut di dahi Sofea. Huh! Kau jual koyok pulak depan mak abah aku ya! Gerutu Sofea di dalam hati.

“Sofea kata dia ambil cuti kecemasan hari ni.” Haji Imran menyampuk.

Chairil menoleh ke arah Sofea. Senyum nakal bermain di wajah lelaki itu. Sofea tiba-tiba diam menjadi patung cendana.

“Kami ada hal urgent. Itu saya datang sini pagi-pagi.”

“Sungguh ke? Mujur Pia tak gerak ke Melaka lagi!” Hajah Asmah benar-benar percaya kata-kata Chairil.

“Tak apalah, mak cik pak cik, saya minta izin nak ke site ni tumpang kereta Pia ya! Saya nak ajak Firdaus pembantu saya tu, dia pun ada hal. Pak Man kena bawa bapa saya pergi mesyuarat luar kejap lagi. Tu yang dia tak tunggu saya tadi.”

Amboi!! Panjang berjela skrip kau Chairil! Terbakar hati dan rentung jiwa Sofea mendengar kata-kata Chairil yang sangat lancar itu.

Chairil pantas bersalaman dan tanpa menunggu Sofea mempelawa, dia masuk ke kereta.

“Kenapa tak gerak lagi?” Bisik Chairil sambil tangannya melambai-lambai ke arah Haji Imran dan Hajah Asmah.

“Abang ni dah kenapa? Terlebih makan ubat tahan sakit ke?” Balas Sofea dengan bibir yang terketap menahan geram. Kalau ikutkan hati yang geram, mahu saja dia meredah segala yang ada di hadapannya.

“Abang telefon tak jawab. Abang tinggal pesan tak balas. Haha... payah sangat, abang datang rumah! Ingat abang takut!”

Chairil semakin lega apabila kereta sudah bergerak jauh. Bertambah lapang jiwa apabila Sofea di sebelahnya.

“Abang gila!”

“Memang gila. Gilakan Pia! Faham?”

Sofea menjadi tergamam. Memegang stereng pun menjadi tidak keruan. Jantungnya terasa berdetak kencang.

“Abang jangan buat macam ni lagi. Abang yang kata nak berubah. Jadi lelaki yang lebih baik.”

“Sebab nak tunjukkan abang lelaki yang baiklah, abang tebalkan muka ke rumah Pia.”

Sofea sempat menjeling ke arah Chairil.

“Abang ni mengarutlah!”

“Tak ada apa yang mengarut. Bila ada orang janji nak tolong abang masa keluar hospital, kemudian tiba-tiba tinggalkan abang suruh pulang sendiri, itu lagi mengarut. Dahlah abang bukan sihat sangat. Ni pun masih sakit-sakit.”

“Dah tahu sakit kenapa tak duduk diam-diam. Kenapa tak terus buat fisio?”

“Sebab ubat abang ada pada Pia!”

“Huh! Great talker, great liar!”

“Pia nak abang buktikan lagi?”

Nafas Sofea menjadi tidak teratur. Lapisan demi lapisan langit terasa jatuh menghempap kepala. Kali ini Sofea benar-benar gementar.

“Kita ke mana?”

“Ikut Pia.”

Sofea meneguk liur. Wajahnya pucat lesi. Semakin pucat raut wajah itu semakin asyik Chairil mencuri pandang. Dalam ketar dan merona pipi gadis itu, ada kejernihan yang berbayang. Pia, kalaulah kau tahu berada di sebelah engkau sahaja sudah membuat aku kebah demam. Pulih jiwa! Kalaulah engkau faham, Pia! Chairil terus mengamati sisi gadis itu. Penuh asyik dan Sofea terus tergigil-gigil memandu sambil kepala ligat memikirkan arah tuju mereka pagi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 5:01 AM