AKTIVITI mencandik mungkus di Kampung Tanjung Batu, Temerloh, Pahang.
AKTIVITI mencandik mungkus di Kampung Tanjung Batu, Temerloh, Pahang.
IKAN yang baru ditangkap menggunakan candik.
IKAN yang baru ditangkap menggunakan candik.
MUNGKUS goreng ranggup menjadi pilihan ramai.
MUNGKUS goreng ranggup menjadi pilihan ramai.
MUNGKUS seluang dan susur batang yang baru ditangkap.
MUNGKUS seluang dan susur batang yang baru ditangkap.
Oleh Mohamed Semail


Bagaikan satu pesta apabila penduduk yang tinggal berdekatan sungai di Temerloh, Jerantut, Lipis dan Pekan, Pahang, memburu ikan kecil.

Menggunakan jala, jaring, pancing dan candik, penggemar ikan sungai ini memburu mungkus yang banyak di sungai itu.

Ikan mungkus memang popular di Pahang, namun bagi orang luar ia sesuatu yang baru dan perlu dicuba.

Ikan mungkus ialah sejenis ikan kecil yang bergerak dari hulu ke kuala secara berkumpulan.

Lazimnya ia berlaku selepas musim banjir dan bergerak menyusuri tebing sungai bermula dari Lipis hingga ke Pekan.

Antara spesies ikan kecil itu ialah Seluang (Rasbora elegans), Susuh Batu (Homaloptera), Susur Batang (Rasboraeinthovenii) dan Lomah (Labiobarbus ocellatus).

Fenomena luar biasa itu disaksikan penduduk yang mendiami pesisir sungai Pahang.

Permintaan tinggi di pasaran menyebabkan ikan mungkus ditangkap.

Nelayan sungai dari Kampung Tanjung Batu, Temerloh, Nizaman Shafie, 42, berkata, penggunaan candik dan jaring antara teknik paling berkesan menangkap mungkus.

“Candik, peralatan menangkap ikan tradisional ini diperbuat daripada buluh.

“Pukat bertali benang yang matanya bersaiz 0.5 inci pula digunakan sebagai penyauk,” katanya.

Katanya, musim menangkap mungkus bermula selepas banjir.

“Waktu menangkapnya bermula dari awal pagi hingga ke larut malam.

“Ia bergerak berkumpulan menghilir di tepi tebing sungai dan waktu inilah pencandik memburunya,” katanya.

Lazimnya, pencandik mampu menangkap enam hingga 10 kilogram mungkus sehari.

Paling lumayan, katanya, jika pemburu ikan itu meggunakan jaring.

“Mereka dapat mendaratkan ikan antara 15 hingga 20 kilogram sehari.

“Jika bernasib baik tangkapan mencecah antara 40 hingga 50 kilogram sehari,” katanya.

Ada masanya pemburu ikan itu terpaksa mengupah orang lain bagi menanggalkan ikan daripada mata pukat.

Permintaanya juga amat tinggi, malah menjadi rebutan pengusaha kedai makan di Temerloh.

“Biasanya ia dijual RM20 sekilogram bagi mungkus yang belum disiang.

“Bagi yang siap disiang dan dibersihkan dijual RM35 sekilogram,” katanya.

Pengusaha Restoran Go’ Bang Maju Patin Tempoyak, Muhamad Rizal Rosley berkata, banyak pertanyaan diterima berkaitan ikan mungkus.

“Ada pelanggan dari Kuala Lumpur datang ke Temerloh hanya untuk merasai ikan mungkus.

“Ikan mungkus boleh dimasak dalam pelbagai resipi dan paling diminati mungkus goreng rangup,” katanya.

Menurut Rizal, setiap hari sebanyak 10 hingga 15 kilogram ikan mungkus goreng dihidangkan kepada pelanggan.

Mereka lebih menggemari mungkus goreng berbanding masak lemak cili padi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 10:18 AM