MOHD Nizam bersama 10 ekor ikan gerahak yang diperolehi dari Sungai Pahang.
MOHD Nizam bersama 10 ekor ikan gerahak yang diperolehi dari Sungai Pahang.
Roselan Ab Malek


JERANTUT: Hujan sejak beberapa hari lalu bagaikan rezeki buat nelayan sungai di daerah ini apabila memperoleh hasil tangkapan memberangsangkan selepas air Sungai Pahang menjadi besar.

Penduduk Kampung Rumpun Makmur, Mohd Nizam Mohd Tapar, 43, berkata, minggu ini ramai penduduk memperoleh hasil tangkapan luar biasa termasuk dia yang memperoleh 10 ikan gerahak.

Katanya, dia menggunakan kaedah candik iaitu alat seperti sauk besar kerana paling sesuai untuk menangkap ikan sungai selain sesuai digunakan di kawasan berumput di tebing sungai.

“Saya mencandik dari tebing sungai yang berumput kerana air sungai yang keruh menyebabkan ikan tidak lari.

“Dalam masa empat jam saya memperoleh 10 gerahak pelbagai saiz dan berat antara satu hingga tiga kilogram.

“Ini rezeki saya kerana ikan ini amat diminati penggemar ikan sungai dan harganya RM60 sekilogram,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu rakannya, Tajudin Ahmad, 42, berkata, pelbagai cara digunakan penduduk terutama nelayan sungai untuk menangkap ikan seperti menahan jaring, menghanyut, tajur, candik dan memancing.

Tajudin berkata, dia menggunakan kaedah menahan jaring dan berjaya memperoleh dua ikan baung ekor merah seberat lima kilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 6:10 AM