Ahmad Hussaini bersama ikan temoleh yang ditangkap di Sungai Perak, Kampung Luat di Lenggong semalam sebelum dijual ke restoran di Kuala Kangsar. Foto Mohd Rashidi Yusuf
Ahmad Hussaini bersama ikan temoleh yang ditangkap di Sungai Perak, Kampung Luat di Lenggong semalam sebelum dijual ke restoran di Kuala Kangsar. Foto Mohd Rashidi Yusuf
Mohd Rashidi Yusuf


IKAN temoleh seberat 45 kilogram (kg) berjaya ditangkap seorang nelayan darat di Sungai Perak, Kampung Luat di Lenggong semalam.

Nelayan terbabit, Ahmad Hussaini Mokhtar, 38, berkata, ikan itu berjaya ditangkapnya kira-kira 3 pagi menggunakan jaring yang baru dibelinya.

“Saya terjaga dari tidur pada 3 pagi dan kemudiannya melabuhkan pukat di sungai kira-kira 100 meter hingga ke tepi sungai dengan menaiki bot.

“Tiba-tiba saya terasa ada ikan besar langgar pukat dan ingatkan patin besar sebelum melihat ikan berkenaan bersisik.

“Saya terus angkat pukat dan baru sedar ia adalah ikan temoleh,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, dia cuba untuk mengangkat ikan itu sendirian tetapi tidak mampu kerana terlalu berat serta arus sungai yang deras susulan baru lepas hujan lebat.

Katanya, dia terpaksa menjerit memanggil adiknya, Mohammad Aadli, 36, yang berada berhampiran untuk membantu.

“Ikan temoleh itu masih kuat dan saya teringat petua orang tua-tua untuk pegang insangnya bagi melemahkannya dan mujur ada adik membantu mengangkatnya masuk ke dalam bot,” katanya.

Ahmad Hussaini berkata, minggu lalu dia berjaya menangkap ikan spesis sama seberat 10 kg dengan pukat barunya itu.

Katanya, temoleh seberat 45 kg itu dijual di sebuah restoran di Sauk, Kuala Kangsar dengan harga RM70 sekilogram.

“Dalam tempoh dua minggu ini saja saya berjaya meraih pendapatan RM3,850 untuk dua ekor ikan temoleh itu dan ini tidak termasuk hasil jualan ikan lain seperti jelawat, kerai, kelabau, tengalan dan lain-lain yang berjaya ditangkapnya ketika musim hujan kali ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 5:59 PM