AP

New Delhi: Dua gelaran dijulang dalam Jelajah Eropah bulan ini membuatkan pemain golf India, Anirban Lahiri semakin bernafsu untuk mengulangi kejayaan sama, kali ini di Jelajah PGA Amerika.

“Dunia yang baru di luar sana. Segala-galanya berubah dalam satu malam,” kata Lahiri, sebaik rankingnya naik ke tangga ke-34 minggu ini.

“Ia saat sungguh mengujakan. Terlalu banyak perlu diisi dalam masa singkat dan apa yang mampu saya fikirkan sekarang adalah bermain dengan baik sepanjang baki tahun ini.”

Bukan mudah untuk menarik perhatian masyarakat India yang gilakan kriket, namun Lahiri berjaya melakukannya dengan menjuarai Terbuka India di New Delhi hujung minggu lalu, dua minggu selepas meraih kejayaan di Terbuka Malaysia.

“Kemenangan di Malaysia sungguh istimewa kerana ia yang pertama bagi saya dalam Jelajah Eropah manakala Terbuka India amat penting atas sebab sentimental kerana ia kejohanan terbuka negara kami,” kata pemain berusia 27 tahun itu.

Konsistensinya meningkat dari minggu ke minggu dan lebih membanggakan kesannya mula dilihat pada peringkat akhir kedua-dua kejohanan itu.

Pemain itu mencacat 10 bawah par 62 pada pusingan ketiga untuk tampil mencabar di Kuala Lumpur dan akhirnya menewaskan Bernd Wiesberger dengan satu pukulan dan kemudian merapatkan jurang tujuh pukulan dengan rakan senegara Shiv Chowrasia pada pusingan akhir di New Delhi sebelum menewaskannya dalam play-off.

“Tidak tepat untuk menyatakan saya cemerlang dalam situasi seperti ini. Sejak dua atau tiga tahun lalu saya banyak memberikan cabaran dan belajar daripada kejohanan yang tidak saya menangi,” kata Lahiri.

“Anda perlu memahami bagaimana tubuh dan minda anda berfungsi ketika waktu mencabar. Pemahaman itu menjadi semakin baik dengan adanya pengalaman,” kata Lahiri yang melakukan yoga dan meditasi untuk meningkatkan tumpuannya.

Lahiri berada di luar ranking 100 pemain terbaik dunia pada 2013, tetapi dua kejuaraan dan lapan kali berada dalam kelompok 10 teratas menyaksikannya menduduki tangga kedua ranking Jelajah Asia tahun lalu dan meningkat ke tangga ke-64 ranking dunia.

Dia tidak menyertai Kejohanan Masters Manila pada November lalu bagi membolehkannya memberi tumpuan terhadap Kelayakan Jelajah Eropah.

“Pilihan yang mudah bagi saya. Keutamaan saya adalah bermain di Eropah dan Amerika Syarikat. Terbukti ia pilihan yang tepat kerana saya mendapat kad Jelajah Eropah. Memandangkan kini saya akan berada dalam Jelajah Eropah untuk tiga tahun berikutnya kerana menjadi johan berganda, saya boleh memberi tumpuan terhadap PGA Amerika Syarikat.

“Saya berazam untuk menang di Amerika, bermain cemerlang di kejohanan utama. Itulah ujian sebenar.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:12 AM