Oleh Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor


Petaling Jaya: The Lego Group menyasarkan pertumbuhan tahun ke tahun (YoY) pasaran Malaysia meningkat 10 peratus hingga 15 peratus menerusi pembukaaan operasi Lego Trading (Malaysia) Sdn Bhd (Lego Malaysia) sebagai syarikat pertama kumpulaan berkenaan di Asia Tenggara.

Keputusan itu dijangka mampu mengukuhkan posisi kumpulan di pasaran Asia selain mampu mengekalkan kedudukannya sebagai jenama pilihan dalam segmen permainan kanak-kanak.

Pengarah Kanan dan Pengurus Negara Pasaran Asia, John Ungermand berkata, pembukaan operasi di Malaysia sebahagian daripada strategi pihaknya yang mahu jenama ini melangkah kukuh di Asia dan membawanya ke peringkat global.

"Kami optimis mencapai sasaran syarikat di Malaysia berdasarkan permintaan Lego yang menggalakkan selain bakal dipacu Lego Malaysia yang akan mendekati pengguna di seluruh negara dan bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi runcit kita.

"Dengan terlaksananya strategi kali ini, pertumbuhan YoY di Malaysia mampu direkodkan," katanya selepas merasmikan pembukaan Lego Malaysia di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif The Lego Group, Jorgen Vig Knudstorp.

Beliau berkata, pihaknya yakin pasaran permainan di Malaysia berkembang pesat dalam beberapa tahun akan datang dan pengguna lebih cenderung memilih permainan berkualiti tinggi dengan manfaatnya yang membantu perkembangan minda.

Sementara itu Jorgen berkata pendekatan bongkah lego memberikan sentuhan kreativiti kepada kanak-kanak dan pihaknya mempunyai perancangan positif bagi mengembangkan potensi jenama itu di sini.

Menurutnya, perancangan seterusnya dengan menghasilkan bongkah permainan yang berkualiti bagi pasaran negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 5:01 AM