Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Kampar: Kelindan lori syarikat kurier maut selepas kenderaan dipandu rakannya melanggar lori membawa muatan dedak ayam di Kilometer 295.8 Lebuhraya PLUS, arah utara, dekat Kampar, 6.30 pagi ini.

Yusri Yahya,41, maut di tempat kejadian manakala pemandu, Wan Hafizi Wan Isman, 24, serta pemandu lori dedak ayam, Mohamad Alias Jailani, 46, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata siasatan awal mendapati lori dinaiki mangsa dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh gagal dikawal dan melanggar lori di depannya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan kelindan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala sebelum dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tiada tangkapan dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 1:01 PM