KEADAAN sebuah lori yang terbabit dalam kemalangan  di KM 294.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini pagi tadi. FOTO ihsan PDRM.
KEADAAN sebuah lori yang terbabit dalam kemalangan di KM 294.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini pagi tadi. FOTO ihsan PDRM.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kampar: Dua maut manakala seorang cedera dalam nahas membabitkan tiga kenderaan termasuk dua lori di KM 294.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Gopeng pagi tadi.

Dalam insiden itu, Yew Khiang Khoon, 53, yang memandu lori sangkar ayam dan Abdul Rahman Mat Desa, 39 sebagai kelindan lori itu maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, berkata nahas membabitkan sebuah lori membawa muatan sangkar ayam yang dinaiki dua mangsa itu dengan sebuah lagi lori yang membawa muatan batuan.

Katanya, dua mangsa yang maut adalah pemandu serta kelindan lori membawa muatan sangkar ayam manakala seorang yang cedera adalah lelaki yang memandu lori muatan batu.

Katanya, siasatan awal mendapati apabila sampai di lokasi kejadian, secara tiba-tiba lori sangkar ayam melanggar bahagian belakang lori muatan batu semasa kedua-dua lori itu berada di lorong kiri.

Menurutnya, pelanggaran itu mengakibatkan lori sangkar ayam mengalami kebakaran kecil namun kebakaran itu dapat dipadamkan pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian.

"Pemandu dan kelindan tersepit di dalam lori sangkar ayam terbabit dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba. Namun mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

"Manakala pemandu lori muatan batu dibawa oleh ambulans ke hospital kerana mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Nazri, kemalangan itu mengakibatkan laluan kiri arah utara ditutup untuk kerja-kerja siasatan selain kerja-kerja pembersihan oleh pihak bomba serta PLUS Malaysia Berhad.

Menurutnya, punca kemalangan masih dalam siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata nahas mengakibatkan lori muatan sangkar ayam itu terbakar anggaran 40 peratus, dengan bomba berjaya mengeluarkan dua mangsa itu dan memadamkan kebakaran sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya.

Sementara itu, PLUS menerusi laman sosial X memaklumkan insiden itu mengakibatkan trafik sesak sepanjang 10 kilometer (km) apabila kedua-dua lorong menghala utara ditutup jam 10.23 pagi dengan kedua-dua lorong dibuka sepenuhnya jam 1.31 tengahari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 2:31 PM