Balqis Jazimah Zahari


Gopeng: Identiti mangsa yang maut digilis kenderaan hingga mengakibatkan tubuh berkecai awal pagi tadi sudah dikenal pasti.

Siasatan awal polis mendapati motosikal yang digunakan mangsa dilaporkan hilang di Alor Janggus, Alor Setar, Kedah, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, semakan juga mendapati mangsa adalah suspek kes pecah rumah yang berlaku di Alor Setar pada 11 Oktober dan di Kuala Kedah pada 12 Oktober.

"Selain itu, suspek juga dikehendaki dalam kes membabitkan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan pagar Masjid Kubang Siam yang berlaku semalam," katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut diteruskan.

"Bedah siasat dijalankan pada jam 11 pagi hari ini," katanya.

Kemalangan jam 3.35 pagi itu membabitkan Perodua Myvi dan motosikal Demak di Kilometer 295.8 Lebuhraya PLUS arah selatan berdekatan susur keluar Tol Gopeng.

Penunggang motosikal berusia 40 tahun berasal dari Terengganu maut di tempat kejadian.

Lima lagi termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang berada di dalam Perodua Myvi tidak mengalami kecederaan.

Hasron Nazri berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dipercayai terbabas sendiri tanpa melanggar apa-apa objek lalu jatuh di jalan raya dan digilis Perodua Myvi dan kenderaan lain yang tidak dikenal pasti.

"Mangsa maut di tempat kejadian kerana diseret sejauh lebih kurang 200 meter dari tempat kejadian manakala motosikal dijumpai di lorong kecemasan kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian," katanya.

Berita berkaitan

2 jam bomba kutip cebisan daging

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 3:44 PM