BOMBA berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 294.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Gopeng. FOTO IHSAN JBPM
BOMBA berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 294.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Gopeng. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Hafizee Mohd Arop


PEMANDU dan kelindan lori maut selepas lori dinaiki merempuh belakang treler dipercayai mengalami kerosakan di Kilometer 294.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Gopeng, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi, pemandu lori, Abd Rafiq Rejab,29, dan kelindan, Robian Ramly, 43, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas parah di beberapa bahagian badan akibat tersepit.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati lori membawa muatan ikan dinaiki kedua-dua mangsa manakala treler membawa minyak masak menuju ke Ipoh.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa gagal mengawal kenderaannya dan merempuh belakang treler yang dipercayai mengalami kerosakan di lorong kiri lebuh raya itu.

“Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut mendapati, pemandu treler berusia 43 tahun hanya meletakkan papan tanda segi tiga pada jarak lima meter dan tidak mengikut piawaian sebenar iaitu 30 meter selain menyalakan lampu kecemasan.

“Rakaman percakapan menunjukkan pemandu treler tidak berusaha untuk memandu kenderaannya ke lorong kecemasan selepas mengetahui mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Hasron berkata, susulan itu polis menahan pemandu treler untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.20 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba anggota mendapati dua mangsa iaitu pemandu dan kelindan lori tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum kerja menyelamat dijalankan.

Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan jam 6.21 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 3:08 PM