Hanoi: Polis Vietnam menemui 20 monyet yang diawet selepas menghentikan sebuah bas di pinggir bandar Hanoi, semalam.

Bas terbabit ditahan selepas pemandunya melanggar lampu merah pada Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Hanoi, Nguyen Tien Viet berkata, pihak berkuasa akan mengenal pasti spesies monyet berkenaan dalam tempoh terdekat.

Katanya, bangkai haiwan itu ditemui disumbat dalam dua karung guni.

“Polis menemui bangkai monyet itu kerana terhidu bau sangat kuat serta keadaan guni mencurigakan,” katanya.

Sementara itu pemandu bas terbabit mendakwa, dia diarah membawa guni berkenaan ke lokasi tertentu untuk diserahkan kepada pihak ketiga.

Vietnam ialah pusat beberapa spesies monyet yang jarang ditemui di dunia dan lima daripadanya tergolong dalam 25 spesies monyet paling terancam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:12 AM