ORANG ramai berehat di dalam pusat beli-belah susulan cuaca panas di Hanoi. FOTO AFP
ORANG ramai berehat di dalam pusat beli-belah susulan cuaca panas di Hanoi. FOTO AFP
AFP

Hanoi: Peningkatan gelombang haba melampau ditambah dengan gangguan bekalan elektrik menyebabkan penduduk Hanoi berpusu-pusu ke pusat beli-belah berhawa dingin di ibu negara Vietnam itu, pada Sabtu.

Ramai mengambil langkah keluar dari rumah disebabkan bekalan elektrik terputus di kawasan kediaman mereka ketika permintaan untuk penggunaan utiliti itu juga meningkat.

Vietnam ialah satu daripada banyak negara di Asia Selatan dan Asia Tenggara yang mengalami rekod suhu harian tertinggi dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Ketika suhu meningkat kepada 36 darjah Celsius, Bui Manh Duc Tai dan teman wanitanya adalah antara mereka yang melarikan diri daripada kehangatan di rumah dan berada di sebuah pusat beli-belah.

"Rumah kami terputus bekalan elektrik sejak pagi tadi. Kami datang ke sini untuk mendapatkan udara sejuk," kata Tai kepada AFP.

Di sudut lain, pelajar, Nguyen Minh Thu duduk di atas lantai cuba menyelesaikan tugasan pada komputer ribanya.

"Saya terpaksa datang ke sini untuk mendapatkan kuasa elektrik supaya saya boleh belajar," kata pelajar itu sambil menambah bekalan elektrik di rumahnya terputus sepanjang pagi.

Di pusat beli-belah lain yang penuh sesak di luar Hanoi, keluarga mempunyai anak kecil mencari perlindungan dalam suasana lebih selesa dengan penyaman udara.

"Saya sudah berada di sini bersama dua anak kecil saya sejak waktu makan tengah hari. Kanak-kanak boleh bermain, manakala saya boleh pergi membeli-belah. Kami akan pulang ke rumah selepas makan malam. Berharap kuasa kembali ketika itu," kata Do Thuy Dung.

Saintis memberi amaran bahawa pemanasan global meningkatkan kekerapan dan kejadian cuaca ekstrem di seluruh dunia, termasuk gelombang haba.

Kemarau dan gelombang haba yang berpanjangan memberikan banyak tekanan untuk menampung bekalan kuasa di utara negara itu, menurut pembekal Vietnam Electricity.

Vietnam Electricity dalam kenyataannya berkata, purata penggunaan kuasa di Hanoi pada Mei meningkat lebih daripada 22.5 peratus berbanding April.

Bekalan elektrik turut diputuskan di hotel di pulau-pulau popular.

Pihak berkuasa juga sudah mematikan lampu jalan di beberapa bandar utama untuk menjimatkan kuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 10:21 AM