Singapura: Filipina melakar sejarah tersendiri apabila muncul pasukan pertama menempah tempat ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala AFF 2014.

Skuad ‘The Azkals’ kendalian jurulatih daripada Amerika Syarikat, Thomas Dooley itu mara ke separuh akhir selepas membenam naib juara 2010, Indonesia 4-0 pada aksi kedua kumpulan A di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam, hari ini.

Sebelum ini, Filipina mengalahkan Laos 4-1 pada aksi pembukaan kumpulan itu di venue sama, Ahad lalu.

Vietnam, selaku tuan rumah bersama Singapura, pula mencerahkan peluang ke separuh akhir selepas menumpaskan Laos 3-0 dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di venue sama, malam ini.

Vietnam yang pernah merangkul kejuaraan pada edisi 2008, sekadar seri 2-2 menentang Indonesia pada perlawanan pembukaan sebelum ini.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan terbaik masing-masing daripada kumpulan A dan B, mara ke separuh akhir.

Singapura yang juga juara bertahan, menjadi tuan rumah bagi saingan kumpulan B yang turut membabitkan Malaysia, Thailand dan Myanmar. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 11:41 PM