TANGKAP layar bungkusan bangkai kucing yang ditemui. FOTO Agensi
TANGKAP layar bungkusan bangkai kucing yang ditemui. FOTO Agensi
Agensi

Banjarmasin: Menyedihkan apabila 20 bangkai kucing ditemukan mati dalam sebuah bungkusan guni di Kalimantan Selatan, Indonesia, Jumaat lalu.

Bangkai haiwan itu ditemui oleh pertubuhan Cat Feeder Banjarmasin.

Ahli kumpulan itu, Fachrurrazi berkata, menurut maklumat masyarakat setempat, bangkai berkenaan sudah berada di lokasi itu sejak Khamis lalu.

Namun, katanya, masyarakat tidak mengesyaki isi dalamnya kerana ia dibungkus dalam guni.

"Mereka hanya mengetahui itu bangkai kucing selepas ia berterabur.

"Dari pengakuan penduduk setempat, mereka tidak berani buka sehingga bungkusan itu berselerak pada petang Jumaat," katanya dalam Kompas.com

Menurutnya, ketika ditemui bangkai haiwan itu mengeluarkan banyak darah dan ada yang patah tulang.

"Kita belum dapat mengesahkan lagi punca kematian kucing itu.

"Apatah lagi Banjarmasin baru saja dilanda banjir dan ada kemungkinan kucing itu mati kerana ditenggelami air.

"Kami belum memutuskan lagi sama ada mahu melaporkan penemuan ini kepada pihak berkuasa mahupun tidak," katanya.

Dilaporkan semua bangkai kucing itu sudah ditanam tidak jauh dari lokasi penemuan bungkusan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 12:10 PM