Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) akan menilai semula kedudukan pemain import dalam skuad Negeri Sembilan (NS) Matrix, selepas prestasi mereka dikatakan kurang berkesan dalam membantu kejayaan pasukan itu musim ini.

Ia susulan kegagalan skuad berkenaan dalam saingan Piala FA selepas tewas kepada Pulau Pinang 1-2 dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pertengahan bulan ini.

NS Matrix kini harus bangkit dengan persembahan lebih mantap dalam saingan Liga Perdana, jika mahu merealisasikan sasaran kejuaraan, sekali gus melayakkan mereka beraksi di Liga Super, musim depan.

Menteri Besar yang juga Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya sudah mengarahkan pengurusan pasukan untuk menilai semula pemain importnya.

Katanya, beliau sudah menyaksikan persembahan skuad kendalian K Devan itu terutama pada saingan Piala FA lalu dan mengakui kurang berpuas hati dengan prestasi keseluruhannya.

“Pengurusan pasukan sudah diarah menilai semula kedudukan pemain terutama pemain import dalam pasukan NS Matrix kerana ada yang kurang menyerlah dan tidak memberikan impak kepada kekuatan pasukan.

“Malah, saya dapati ada pemain tempatan yang lebih baik prestasinya daripada pemain import, justeru mungkin kita (PBNS) kena nilai semua kontrak mereka dengan kita,” katanya.

Ketika ini, NS Matrix mempunyai empat pemain import iaitu Jean Marc Alexendre di bahagian pertahanan manakala Francis Forkey Doe dan Kim Jin Ryong (penyerang) dan Bruno Sebastian Martelotto (penyerang kedua).

FAM akan membuka jendela pengambilan dan pertukaran pemain import bulan depan sekali gus memberi peluang setiap pasukan menggantikan pemain sedia ada.

Mohamad bagaimanapun tidak menyatakan pemain import terbabit, namun akan berbincang dengan pegawai pasukan terlebih dulu sebelum sebarang tindakan diambil.

Setakat ini, Forkey Doe tampak menyerlah selepas menjaringkan lapan gol dalam liga berbanding Kim Jin Ryong yang kini dikatakan masih dibelenggu kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 9:10 AM