DOE (tengah) jaring dua gol untuk NS Matrix.
DOE (tengah) jaring dua gol untuk NS Matrix.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: “Saya harap pemain Negeri Sembilan tidak terlalu cepat berpuas hati sebaliknya perlu kekalkan prestasi terbaik bagi menjamin kejayaan pasukan memburu kejuaraan liga musim ini,” kata ketua jurulatih Negeri Sembilan (NS) Matrix K Devan.

NS Matrix melakar kemenangan kedua selepas menewaskan UiTM FC, 2-0 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat lalu.

Pemain import NS Matrix, Francis Forkey Doe muncul wira apabila meledak kedua-dua gol untuk meletakkan skuad Hoben Jang Hoben menduduki tangga kedua carta ketika ini.

Kemenangan itu pantas membuatkan Devan berasa beliau perlu mengingatkan anak buahnya supaya tidak cepat mendabik dada kerana baginya, saingan masih terlalu awal dan cabaran lebih berliku bakal dihadapi pada aksi selepas ini.

Menurutnya, pemain perlu terus fokus dan mengekalkan prestasi terbaik supaya kemenangan terus menjadi milik pasukan sekali gus mengumpul mata tertinggi.

“Dua kemenangan berturut-turut menunjukkan permulaan baik, tapi pemain harus sedar pasukan akan mengharungi 22 perlawanan sepanjang musim ini.

“Saya harap pemain terus fokus dengan sasaran yang ingin dicapai pada penghujung saingan dan kekalkan prestasi terbaik,” katanya.

Devan berkata, masih banyak ruang perlu diperbaiki terutama apabila mereka tidak menurunkan kesebelasan utama gara-gara kecederaan beberapa pemain senior seperti Khyril Muhymeen Zambri, Shahrizal Mohd Saad, S Sivanesan, Rudie Ramli dan Ahmad Fauzi Saari.

Beliau yakin andai kesemua pemain cergas, skuad kendaliannya pasti mampu memperaga aksi lebih baik.

“Pemain perlu hati-hati dan terus berusaha meningkatkan prestasi. Saingan selepas ini pasti lebih sukar,” katanya.

Dalam pada itu, Devan meluahkan rasa gembira dengan persembahan Forkey Doe yang tampak semakin garang.

“Saya harap dia dapat kekalkan prestasi terbaik itu untuk setiap perlawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:29 AM