FOUZI (lima dari kanan) menerangkan kepada Pengerusi PPK MADA mengenai kaedah tabur terus kering musim 1/2017 sambil diperhatikan Hor (tiga dari kanan).
FOUZI (lima dari kanan) menerangkan kepada Pengerusi PPK MADA mengenai kaedah tabur terus kering musim 1/2017 sambil diperhatikan Hor (tiga dari kanan).
Mohamad Hussin

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bakal melaksanakan kaedah tabur terus kering bagi Musim 1/2017 sekiranya tiga empangan milik mereka mengalami kekurangan bekalan air.

Tiga empangan berkenaan adalah Empangan Muda, Empangan Pedu dan Empangan Ahning.

Pengerusi MADA Datuk Othman Aziz berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat bersama semua Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA.

Beliau berkata, MADA berpendapat kaedah tabur terus kering adalah antara alternatif yang sesuai disebabkan bekalan air yang terhad bagi musim penanaman 1/2017 kemudian meneruskan penanaman dua kali setahun.

“Aktiviti penanaman padi perlu diteruskan juga walaupun menggunakan kaedah tabur terus kering bagi memastikan bekalan padi negara sentiasa berterusan.

“Ia seterusnya dapat membantu peladang di Kawasan Muda mempunyai pendapatan bagi Musim 1/2017,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air, Penanaman Padi dan Penyerahan Bahan Kempen Tabur Terus Kering di Ibu Pejabat MADA, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar MADA Datuk Fouzi Ali dan Timbalan Pengurus Besar MADA Datuk Hor Tek Lip.

Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan 1 berkata, tarikh akhir bagi penyediaan tanah adalah pertengahan bulan depan (Mac).

“Ia membabitkan fasa I dan II dengan keluasan tanah 78,777 hektar sementara bagi fasa III pula pada awal April depan dengan keluasan tanah 21,908 hektar.

“Petani kena laksanakan kaedah tabur terus kering kerana jika tidak, mereka tidak dapat menanam padi. MADA ada pasukan yang akan turun ke pelbagai peringkat bagi memberi penerangan,” katanya.

Menurutnya, hingga 12 Februari lalu, jumlah takungan di ketiga-tiga empangan iaitu Empangan Muda, Empangan Pedu dan Empangan Ahning sebanyak 701,420 kaki bersamaan 57.35 peratus.

“Jumlah takungan ini 26.05 peratus kurang daripada takungan pada tarikh sama tahun lalu iaitu 1,021,042 kaki.

“Walaupun bekalan air terhad bagi penanaman padi Musim 1/2017, pihak MADA tetap akan membekalkan bekalan air kepada pesawah bagi menampung keperluan tanaman padi selepas proses tabur terus kering dilaksanakan.

“MADA pernah melaksanakan kaedah sama sebanyak lima musim sebelum ini bermula pada 1978 hingga 1993 dengan hasil purata padi yang diperoleh antara 3.6 hingga 4.2 tan sehektar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 10:23 AM