Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mahfuz Omar mengadakan sidang media mengenai masalah benih padi di Taman Satria, Langgar hari ini. FOTO SYAHARIM ABIDIN
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mahfuz Omar mengadakan sidang media mengenai masalah benih padi di Taman Satria, Langgar hari ini. FOTO SYAHARIM ABIDIN
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Agensi kerajaan yang mempunyai loji pengeluaran benih padi sah (BPS) perlu diberi keutamaan mendapatkan kuota bekalan BPS berjumlah 72,000 metrik tan setahun, seperti ditetapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, empat agensi kerajaan iaitu LPP, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Felcra Plantation dan Mada Corp hanya membekalkan 15,500 metrik tan BPS.

Katanya, keadaan ini menyebabkan kesukaran kepada kerajaan memastikan harga jualan BPS kepada pesawah melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang ditetapkan pada harga RM40 per 20 kilogram (kg) di kilang dan RM45 kepada peruncit dapat dilaksanakan.

"Apa yang menjadi kekesalan dalam isu BPS adalah harga jualan yang ditetapkan kerajaan tidak dipatuhi pengeluar swasta dengan hanya agensi kerajaan yang menjadi pembekal dapat mematuhi harga jualan ditetapkan.

"Pengeluar swasta yang menjadi pembekal menyerahkan BPS kepada ejen yang kemudian menjualnya kepada pesawah pada harga lebih tinggi menyebabkan yang terbeban adalah petani terutama di Kedah.

"Sepatutnya dalam isu ini, pihak Bahagian Kawalselia Padi dan Beras perlu mengambil tindakan ke atas pengeluar swasta dan ejen terbabit, mereka boleh dapatkan senarai nama pembekal terbabit dan bukan hanya menunggu laporan untuk bertindak," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh.

Mahfuz berkata, bagi menyelesaikan masalah BPS pada masa hadapan, adalah wajar kuota bekalannya diberikan kepada agensi kerajaan yang mempunyai loji benih padi.

Katanya, selama ini agensi yang menjadi pembekal BPS tidak mendapat kuota bekalan mengikut kapasiti ditetapkan, sedangkan kerajaan sendiri yang mengarahkan pihak terbabit membina dan mengeluarkan benih padi bagi kegunaan pesawah.

"Kuota pengeluaran BPS akan tamat tahun ini, kerajaan akan melantik pembekal baharu tidak lama lagi. Jadi kita minta kerajaan beri keutamaan kepada agensi kerajaan yang telah lama diberikan kuota menyediakan BPS.

"Selama ini, agensi terbabit tidak mendapat kuota mengikut kapasiti penuh pengeluaran kecuali LPP yang diberikan 5,000 metrik tan. Saya minta kuota baharu diberikan mengikut kapasiti penuh iaitu KADA (5,000), Felcra Plantation (6,000) dan MADA Corp (12,000).

"Ketika ini, LPP juga mempunyai loji di Kubur Panjang yang boleh mula beroperasi apabila kuota pengeluaran diberikan selain loji baharu juga sedang dibina di Perak dan Selangor," katanya.

Mahfuz berkata, pihaknya menjangkakan sekiranya semua loji milik agensi kerajaan dapat beroperasi sepenuhnya, maka jumlah pengeluaran BPS boleh ditingkatkan kepada 48,000 metrik tan pada 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 4:57 PM