EUAN (kiri) dan Kevin pada pelancaran BIZfibre.
EUAN (kiri) dan Kevin pada pelancaran BIZfibre.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Petaling Jaya: Astro, melancarkan perkhidmatan jalur lebar generasi akan datang dengan penghala WiFi-6, BIZfibre yang menyediakan jalur lebar berkelajuan tinggi pada kestabilan lebih baik kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

BIZfibre dikuasakan oleh Astro Fibre, adalah pelengkap sempurna kepada Pek TV komersialnya yang menawarkan sukan secara siaran langsung, rancangan televisyen (TV) terbesar, filem blokbuster dan berita terkini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro-Designate, Euan Smith berkata, memandangkan perniagaan kini menjadi lebih global dan berdaya saing, ia penting bagi semua usahawan sehingga syarikat besar untuk mempunyai akses lebih baik kepada sambungan yang pantas dan dipercayai.

Katanya, PKS adalah tulang belakang kepada ekonomi Malaysia yang menyumbang 97 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan.

"Kami berharap untuk bekerjasama dengan semua sektor PKS menerusi tawaran sambungan dan penyelesaian hiburan dengan WiFi bertaraf dunia serta kandungan menarik yang sah.

"Melalui perkhidmatan ini, PKS akan berasa tenang apabila mengetahui bahawa mereka melanggan pakej komersial TV yang sah dengan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan mereka.

"Mendengar maklum balas daripada pelanggan dan prospek komersial, kami telah mencipta rancangan BIZfibre kami untuk meningkatkan prestasi perniagaan melalui sambungan lebih pantas, dipercayai dan stabil," katanya pada sidang media selepas pelancaran BIZfibre di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Bisnes Perusahaan Astro, Kevin Ng.

Euan berkata, pihaknya juga sudah memilih rangkaian pakej nilai tambah yang memenuhi semua keperluan komersial tanpa mengira saiz atau industri.

Menurutnya, pek TV BIZfibre dan komersial Astro menawarkan proposisi nilai yang unik berdasarkan pelbagai kandungan dan perkhidmatan Astro yang hebat.

"Kami yakin BIZfibre akan menjadi sumbangan penting kepada peningkatan jalur lebar dan pangkalan pelanggan komersial kami.

"Potensi pasaran untuk sektor PKS besar, kami jangkakan perniagaan segmen makanan dan minuman (F&B) antara yang akan melanggan BIZfibre diikuti perhotelan, pusat servis kereta, klinik, hospital dan pusat gimnasium," katanya.

Sempena pelancaran BIZfibre, Astro menawarkan Pek VIP dengan 59 saluran dan Pek Plus VIP dengan 70 saluran.

Pek VIP disertakan dengan semua pas sukan VIP seperti Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dan sukan secara siaran langsung lain yang menarik seperti Liga Perdana, La Liga, Ligue 1 dan Serie A, Formula 1, UFC, NBA dan banyak lagi termasuk siri signature Astro Originals, One Cent Thief serta rancangan antarabangsa premium.

Pelanggan boleh menunjukkan lima kandungan sukan yang berbeza secara serentak hanya pada RM1,959 sebulan bagi pek VIP Plus termasuk Pas Sukan VIP dan Pas Ragbi dengan lapan skrin sukan yang berbeza secara serentak, dilengkapi pilihan kelajuan jalur lebar sama ada 500Mbps atau 800Mbps secara percuma sehingga 24 bulan.

BIZfibre juga tersedia dengan sendiri sambil memberikan internet tetap tanpa had dengan kelajuan 500Mbps hingga 800Mbps masing-masing pada RM239 dan RM299 sebulan dan dilengkapi penghala WiFi 6 terbaharu untuk menjamin keperluan rangkaian pelanggan komersial kini yang semakin meningkat serta satu unit WiFi mesh percuma untuk mengatasi isu sambungan seperti liputan yang lemah dan terhad, titik mati internet dan kelajuan yang tidak konsisten.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 6:00 AM