Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi ‘lampu hijau’ kepada Gary Steven Robbat menjalani latihan bersama kelab Bundesliga Borussia Dortmund meskipun pemain muda itu menjalani hukuman penggantungan tiga bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM Datuk Takiyuddin Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, hukuman itu hanya berkuat kuasa dalam Liga Malaysia (Liga-M) dan Gary, 22, boleh menjalani latihan dengan pasukan luar negara kerana mereka tidak mahu membawa kes itu kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Keputusan hukuman ini hanya terikat kepada kejohanan atau pasukan tempatan. Dalam kes Gary, penggantungan itu hanya terpakai di Malaysia. Kalau Gary ada penaja untuk berlatih di luar negara, dia dibenarkan berbuat demikian,” katanya.

Menerusi kenyataan dikeluarkan laman sosial Facebook, Johor Southern Tigers semalam, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) bersetuju menghantar Gary berlatih bersama kelab gergasi Jerman itu sepanjang tempoh penggantungan berkenaan.

Bekas pemain Harimau Muda A itu tidak dibenarkan terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak selama tiga bulan bermula 16 Januari lalu serta didenda RM50,000 oleh Jawatankuasa Status FAM atas kesalahan menandatangani dua kontrak bersama Johor DT dan Pahang.

Namun dalam laporan Arena Metro sebelum ini, Gary yang kini berstatus ejen bebas masih menjalani latihan bersama skuad Harimau Selatan serta beraksi dalam perlawanan persahabatan 18 Januari lalu sehinggalah dia diberikan arahan oleh FAM supaya tidak terbabit dengan mana-mana pasukan dalam Liga-M.

Takiyuddin menjelaskan tiada kekeliruan mengenai penggantungan yang membenarkan Gary berlatih bersama pasukan lain di luar negara kerana pemain itu tidak melanggar mana-mana peraturan.

“Hukuman terhadap pemain di peringkat antarabangsa hanya akan dikenakan jika kami memanjangkan kes ini kepada AFC. Bagaimanapun FAM tidak berhasrat melanjutkan hukuman Gary sebaliknya ia hanya berkuat kuasa di Malaysia.

“Seperti dalam Kod Tatatertib AFC Artikel 136 dan Artikel 137, FAM harus meminta kebenaran AFC jika mahu menjadikan hukuman itu berkuat kuasa di peringkat antarabangsa, tapi dalam kes Gary ini kami tidak akan lakukannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 8:10 AM