LAZARUS (kanan) diberi penerangan mengenai permainan Fantasi Bola Sepak FAM.
LAZARUS (kanan) diberi penerangan mengenai permainan Fantasi Bola Sepak FAM.

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia menyiasat dakwaan pemain kontroversi Gary Steven Robbat masih ingkar dengan peraturan badan induk itu apabila tetap menjalani latihan dan mewakili Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dalam satu aksi persahabatan meskipun ketika ini menjalani hukuman penggantungan tiga bulan.

Penolong Setiausaha FAM Lazarus Jansen Xavier berkata, pihaknya perlu mengumpul maklumat terlebih dulu sebelum membuat sebarang tindakan ke atas pemain berusia 22 tahun itu yang dikenakan hukuman Jawatankuasa Status FAM Jumaat lalu gara-gara melanggar peraturan perpindahan pemain.

“FAM tidak terima sebarang maklumat sama ada dia (Gary) berlatih atau melakukan aktiviti lain (perlawanan persahabatan). Saya tidak mahu membuat sebarang komen mengenai perkara ini, tapi keputusan FAM amat jelas dan dia tidak boleh menyertai sebarang aktiviti bola sepak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Fantasi Bola Sepak FAM (FAM Fantasy Football) semalam.

Arena Metro semalam melaporkan pemain tengah kebangsaan itu seakan mahu mencabar kewibawaan FAM apabila terus berlatih dengan skuad Harimau Selatan serta beraksi dalam perlawanan persahabatan dengan Young Lions Ahad lalu, dua hari selepas Jawatankuasa Status dipengerusikan Datuk Takiyuddin Hassan menjatuhkan hukuman penggantungan tiga bulan serta denda RM50,000 serta merta.

Takiyuddin berkata, Gary tidak dibenarkan terbabit dengan mana-mana pasukan yang menyertai Liga M apatah lagi kontrak bekas pemain Harimau Muda A itu yang ditandatangani pada 21 November tahun lalu tidak sah.

Mengulas tindakan susulan FAM berhubung isu itu, Lazarus berkata, Gary sepatutnya peka dengan hukuman itu dan dia sepatutnya sudah menerima surat rasmi mengenai hukuman itu kelmarin.

“Surat itu sudah dihantar oleh Jabatan Undang-Undang semalam (kelmarin). Keputusan hukuman itu amat jelas, memang kalau melanggar syarat hukuman boleh dihukum, tapi tidak perlu kita bercakap mengenai perkara ini lagi kerana ia satu proses yang panjang kerana saya percaya Gary juga mahu merayu akan hukumannya. Biar FAM mendapat maklumat terlebih dulu dan kemudian baru buat keputusan,” jelasnya.

Sementara itu, FAM bersama FanXT melancarkan permainan Fantasi Bola Sepak FAM yang membolehkan peminat bola sepak tempatan menguruskan pasukan impian mereka dengan melayari www.fantasymsl.fanxt.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 7:18 AM