Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur

Pemain tengah Gary Steven Robbat mengaku tidak tahu secara terperinci mengenai hukuman dijatuhkan kepadanya apabila masih lagi berlatih bersama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) meskipun kini menjalani penggantungan tiga bulan bermula 16 Januari lalu atas kesalahan melanggar kontrak perpindahan pemain.

Menurut pemain berusia 22 tahun itu, hingga kini dia masih belum menerima surat rasmi hukuman itu selepas diputuskan Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Saya belum dapat lagi surat rasmi, saya sudah bertanya kepada jurulatih (Bojan Hodak) dan dia juga tidak tahu mengenai surat itu. Saya tak pasti (mengenai larangan berlatih dengan mana-mana pasukan), saya sudah lupa. Saya kena tanya beberapa orang untuk tahu perkara itu betul ataupun tidak. Saya tidak pasti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Kontroversi bekas pemain Harimau Muda A ini berlarutan apabila dia dilaporkan bukan saja masih menjalani latihan bersama skuad Harimau Selatan, malah turut beraksi dalam satu aksi persahabatan menentang Young Lions di Johor Bahru Ahad lalu, dua hari selepas hukuman kepada pemain itu dijatuhkan.

Jelas, tindakan Gary yang turut didenda RM50,000 kerana didapati bersalah menandatangani kontrak dengan dua pasukan Johor DT dan Pahang pada pertengahan November serta tidak mengadakan perbincangan bersama pasukan negeri asal Kedah itu boleh mengundang padah.

Pengerusi Jawatankuasa Status Datuk Takiyuddin Hassan kelmarin mengesahkan Gary yang dilarang daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak tidak dibenarkan berlatih bersama Johor DT dalam tempoh penggantungan itu.

Malah, pemain kebangsaan itu sudah tidak mempunyai sebarang ikatan bersama Johor DT kerana kontrak yang ditandatangani pada 21 November tidak sah.

Gary berkata, dia bersedia mengemukakan rayuan meringankan hukuman itu termasuk membenarkannya berlatih bersama Johor DT demi peluangnya untuk beraksi bersama skuad bawah 23 tahun di Sukan SEA Singapura Jun ini.

“Saya akan minta bantuan pegawai persatuan untuk membuat rayuan kerana saya ada (tugasan) di Sukan SEA dan saya harap boleh berlatih dengan mana-mana pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 7:20 AM