Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Enggan terus terpalit dengan kontroversi pemain tengah negara Gary Steven Robbat akur terhadap hukuman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tidak membenarkannya berlatih bersama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) sepanjang tempoh penggantungan tiga bulan.

Menurut pemain berusia 22 tahun itu, dia sudah menerima surat rasmi daripada FAM semalam dan akan berbincang dengan pihak pengurusan pasukan serta Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) sebelum mengemukakan rayuan.

“Saya sudah menerima surat hukuman penggantungan itu pagi tadi (semalam) dan sekarang tak boleh berlatih dengan Johor DT. Sekarang saya cuma berlatih bersendirian. Mengenai rayuan, saya belum tahu lagi kerana perlu berbincang dulu,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Isu Gary tidak selesai meskipun Jawatankuasa Status FAM sudah menjatuhkan hukuman penggantungan tiga bulan daripada menyertai sebarang aktiviti bola sepak serta denda RM50,000 akibat kesalahan menandatangani dua kontrak bersama Johor DT dan Pahang, Jumaat lalu.

Bekas pemain Harimau Muda A itu dilapor masih berlatih dengan skuad Harimau Selatan itu serta beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Young Lions Ahad lalu, dua hari selepas hukuman penggantungannya berkuat kuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM Takiyuddin Hassan menegaskan Gary tidak boleh berlatih atau beraksi dengan mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia sehingga tamat penggantungan dan sekiranya syarat hukuman itu gagal dipatuhi, tindakan boleh diambil.

Gary yang membantu skuad kebangsaan muncul naib juara Piala AFF Disember lalu menyuarakan kebimbangan mengenai prestasinya apabila hanya mempunyai masa singkat sebulan untuk merebut tempat dalam skuad Sukan SEA Singapura Jun ini.

“Memang susah apabila tidak berlatih dan beraksi dalam perlawanan kompetitif, tapi saya akan tetap berusaha dengan masa yang ada untuk meningkatkan prestasi bagi persediaan menyertai mana-mana kejohanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 7:52 AM