Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Datuk Mokhtar Ahmad menegaskan dirinya masih kekal relevan untuk Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) walaupun wujud desakan peminat agar mengundur diri.

Timbalan Presiden FAS itu antara beberapa pucuk pimpinan tertinggi persatuan itu yang didakwa gagal selepas Selangor tidak mampu meraih sebarang kejuaraan sejak kebelakangan ini.

“Sampai masanya, saya akan keluar. Namun saya akan kekal selagi merasakan relevan dan boleh memberi sumbangan. Saya tidak mempunyai masalah, saya bukannya mencari ‘makan’ di FAS.

“Pada saya, soalan itu tidak ada kaitan dengan saya kerana saya dipilih 94 kelab gabungan.

“Siapa dia, mungkin dia patut datang bertanding merebut jawatan pada masa itu.

“Bukan hak saya dipilih sebagai Timbalan Presiden, tapi 94 kelab gabungan. Mereka yang meletakkan saya Timbalan Presiden, siapa yang perlu saya dengar? Ahli gabungan atau individu berkenaan?” katanya pada sidang media semalam.

Malah Mokhtar menolak andaian sesetengah pihak kepimpinan FAS sudah berpecah-belah dengan tampil menafikannya sekeras-kerasnya.

“Itu tidak benar. Mungkin ada sedikit perselisihan seperti mana-mana organisasi. Namun kita sudah betulkan, kita mengukuhkan pertalian antara anggota untuk bola sepak bukan politik,” jelasnya.

Malah Mohktar memberi jaminan pembaharuan sedang dilakukan dengan langkah pertama sudah dilakukan menerusi pemilihan lapan muka baru dalam Exco FAS selain bersetuju pada dasarnya mengeluarkan pas bermusim yang menjadi desakan peminat.

“Kita pada dasarnya bersetuju namun mahu memperincikan mengenai modus operandi. Kami berjanji untuk mengeluarkannya sebelum perlawanan ketiga (21 Februari),” katanya.

Mokhtar turut mengakui penyokong adalah penting namun berharap mereka turut bertimbang rasa terhadap kepimpinan FAS yang baru diambil alih Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

“Jangan hentam sesuka hati. Kita ada tata susila sebagai manusia. Hormat antara sama lain,” tambahnya.

Pada masa sama Mokhtar menjelaskan peruntukan yang diterima Selangor sejak beberapa tahun lalu sekitar RM8 juta, lebih kecil berbanding beberapa pasukan lain namun mereka muncul naib juara Liga Super 2013 dan 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 7:43 AM