Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Mokhtar Ahmad (gambar) menggesa pihak yang tidak berpuas hati terhadap dirinya tampil bertanding pada pemilihan persatuan berkenaan baru-baru ini.

“Saya tidak tahu punca atau sebab. Saya dipilih (sebagai Timbalan Presiden FAS), apa yang boleh saya katakan. Tiada siapa menentang saya untuk jawatan Timbalan Presiden, seharusnya mereka yang tidak gembira tampil bertanding,” katanya.

Mokhtar antara kepimpinan tertinggi FAS yang didesak berundur oleh segelintir penyokong dengan poster dan desakan mengenainya tersebar luas di media sosial dan sekitar jalan raya di Lembah Klang.

Antara yang dibangkitkan kumpulan berkenaan adalah membabitkan pembangunan akar umbi, pas bermusim, pemilihan pemain dan sebagainya.

“Saya tidak tahu kumpulan mana yang tidak puas hati. Setakat ini mereka tidak mendedahkan diri, tidak mungkin saya nak berbincang dengan bayang-bayang. Jika tidak puas hati boleh dibawa berbincang.

“Kadang-kala mereka tidak mengetahui fakta sebenar dengan mungkin mendengar daripada sebelah pihak. Janganlah menghukum apabila mendapat maklumat sebelah pihak saja,” jelasnya.

Kelmarin pejabat FAS di Kelana Jaya disimbah cat berwarna merah dan kuning dengan satu laporan polis sudah dibuat dengan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim yang tidak menolak kemungkinan ia tindakan segelintir penyokong yang tidak puas hati terhadap pegawai persatuan berkenaan.

Selangor mengharungi tempoh sukar dengan kali terakhir muncul juara pada 2010 apabila menjulang Liga Super.

Skuad kendalian Mehmet Durakovic yang muncul naib juara Liga Super 2014 turut kehilangan penjaring terbanyak liga, Paulo Rangel yang menyertai Terengganu selepas pemain import dari Brazil itu tidak berpuas berhubung bayaran lanjutan kontraknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 7:22 AM