AKSI perlawanan Malaysia melawan Pakistan dlam saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak. -FOTO Bernama
AKSI perlawanan Malaysia melawan Pakistan dlam saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak. -FOTO Bernama
Oleh Saiful Affendy Sapran


Ipoh: Ketua jurulatih Pakistan, Roelant Oltmans berkata beliau akan menggunakan apa sahaja taktikal yang sesuai untuk memastikan pasukannya mampu melangkah lebih jauh pada saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) kali ini.

Sentuhan magis pengendali berusia 69 tahun itu terbukti berkesan ketika membantu Pakistan menumbangkan skuad negara yang juga juara bertahan semalam meskipun pada satu ketika anak buahnya dilihat berada di ambang kekalahan.

Oltmans yang pernah membimbing Speedy Tigers dari 2018 sehingga 2020 berkata, dengan tempoh cukup singkat untuk mempersiapkan pasukan, beliau tidak mempunyai pilihan selain menggunakan apa sahaja taktikal yang sesuai untuk setiap pasukan ditemui Pakistan.

"Kami akan menggunakan taktikal permainan yang berbeza pada setiap perlawanan. Sejujurnya, kami sendiri tak tahu sejauhmana kemampuan kami.

"Jika anda hanya dapat mengumpulkan keseluruhan pemain tiga hari lalu dan kemudian terus sertai kejohanan ini tanpa sebarang persiapan rapi, anda pasti tak tahu apa yang boleh diharapkan.

"Kami hanya dapat melihat perlawanan persahabatan mereka (Malaysia) dengan Korea Selatan pada 10 minit terakhir perlawanan. Daripada situ kami mula memikirkan taktik yang sesuai, itu sahaja yang kami dapat lakukan.

"Jadi, saya bersedia untuk menggunakan apa sahaja taktikal yang sesuai untuk memastikan kami memenangi perlawanan," katanya selepas menyaksikan anak buahnya bangkit menewaskan Malaysia 5-4, semalam.

Sebaik meninggalkan Malaysia, pengendali dari Belanda itu menyertai Pakistan selaku jurulatih skuad remaja pada tahun lalu.

Beliau kemudian dilantik sebagai ketua jurulatih skuad senior bulan lalu untuk PSAS susulan pergolakan di dalam Persekutuan Hoki Pakistan (PHF).

Pakistan pernah memenangi PSAS sebanyak tiga kali iaitu pada 1999, 2000 serta 2003 dan mereka menduduki tempat ketiga pada edisi terakhir dua tahun lalu yang menyaksikan Malaysia muncul juara kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 1:56 PM