PEMAIN Perancis, Gaspard Xavier (kanan) diasak pemain Australia, Campbell Geddes pada perlawanan suku akhir berkesudahan Perancis menang 3-2, semalam. FOTO AIZUDDIN SAAD
PEMAIN Perancis, Gaspard Xavier (kanan) diasak pemain Australia, Campbell Geddes pada perlawanan suku akhir berkesudahan Perancis menang 3-2, semalam. FOTO AIZUDDIN SAAD
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Faktor pengalaman pemain dijangka menjadi resipi utama Perancis untuk mengecewakan Sepanyol apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi separuh akhir Piala Dunia Remaja, esok.

Meskipun Perancis tidak mempunyai reputasi gah di peringkat senior, skuad remaja mereka cukup menyerlah apabila meraih penamat di tempat ketiga di Bhubaneswar, India, dua tahun lalu dan lebih menarik, 10 daripada pemain yang beraksi ketika itu, masih kekal bersama pasukan kali ini.

Perancis mara ke separuh akhir selepas menumbangkan bekas juara dunia, Australia 3-2 pada aksi suku akhir, semalam, manakala Sepanyol mengatasi Pakistan 4-2.

Ketua jurulatih Perancis, Matthias Dierckens berkata, semangat sepasukan tinggi menjadi kunci kepada kejayaan Perancis setakat ini, sekali gus tidak mustahil untuk mereka melangkah ke pentas final.

"Rata-rata pemain membesar dan beraksi bersama-sama, bermakna mereka sangat mengenali antara satu sama lain.

"Kelemahan kami ialah bukan negara gergasi dalam sukan hoki dengan tidak ramai pemain serta jurulatih, tetapi ia memudahkan kami untuk melakukan pemilihan 18 pemain terbaik.

"Seramai 10 pemain yang beraksi pada Piala Dunia dua tahun lalu masih beraksi pada edisi kali ini manakala lima pemain di dalam skuad sekarang sudah mempunyai pengalaman beraksi bersama skuad senior.

"Selain mempunyai pengalaman beraksi di Piala Dunia, ada pemain meraih pengalaman beraksi di Piala Eropah di mana kualiti permainan sangat tinggi," katanya.

Mengulas tanggapan segelintir peminat yang melabelkan Perancis mampu menjulang Piala Dunia kali ini, Dierckens tidak menganggap ia tepat, sebaliknya kekal merendah diri.

"Setiap orang boleh memperkatakan apa sahaja, tetapi kami tetap perlu melakukan persiapan terbaik dan menghormati setiap lawan yang ditemui.

"Kami tahu mampu menewaskan mana-mana pasukan jika dapat mempamerkan aksi cemerlang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 6:14 PM