Jakarta: Bekas kekasih Jupe (Julia Perez) dari Argentina, Gaston Castano dilaporkan menghubungi penyanyi dangdut itu untuk menjalin semula hubungan mereka yang terputus sejak dua bulan lalu.

Namun Jupe yang kini menghidap penyakit kanser serviks tahap 2 berdegil.

Kata Jupe, pemain bola sepak itu terlalu kejam kerana meninggalkannya ketika dia sangat memerlukan sokongan berdepan ancaman kanser.

“Dia mengajak saya berbaik semula dan kebetulan pula saya sakit sejak dua bulan lalu,” katanya, semalam.

Menurut Jupe, dia faham sebagai pemain bola sepak Castano sering diburu peminat wanita.

Namun, katanya, ketika dia berada antara hidup dan mati, Castano meninggalkannya untuk bersama wanita lain.

“Malah teman wanita dia mengirim mesej kepada saya untuk memberitahu, saya adalah masa silam Castano,” katanya ketika ditemui media.

Justeru, kata Jupe, kini dia pasrah.

“Saya terlalu banyak memikir Castano dulu. Kini masa untuk saya memikirkan diri sendiri,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 7:30 AM