JUPE
JUPE
Hartati Hassan Basri


Sebut nama Julia Perez atau Jupe, 36, terbayang penampilan seksinya dan dikenali sebagai artis kontroversi dengan pelbagai cerita sensasi.

Membintangi lebih 30 filem tetapi namanya sering dikaitkan dengan watak sensasi dalam filem seram.

Tidak cukup dengan penampilan seksi, Jupe juga dikenali kerana cerita sensasi yang menggegarkan industri hiburan Indonesia.

Jupe ketika ditemui baru-baru ini mengakui semua itu dirancang pada awal pembabitannya dulu kerana sedar untuk dikenali dia perlukan cerita sensasi.

Jupe juga sedar industri filem di Indonesia mempergunakan dirinya untuk melariskan filem mereka.

Hakikatnya kata Jupe, imej seksi hanya untuk kerjaya dan ia sesuai dengan watak dijayakan. Dia juga tidak mahu menjadi hipokrit.

Bagaimanapun katanya, dalam kehidupan seharian dia bukan begitu. Mungkin ramai yang tidak tahu, Jupe atau Yuli Rachmawati sebenarnya gadis tomboy yang suka bersukan dan pernah bercita-cita menjadi atlet.

Mula menceburi dunia lakon pada 2007, Jupe juga dilamar sebagai penyanyi pada 2008 dan menghasilkan album dangdut, Kamasutra.

Perez adalah nama suami pertamanya, Damien Perez (2002-2008) dan kini nama itu kekal bersamanya malah didaftarkan sebagai satu syarikat perniagaan dimiliki.

Kini selepas 10 tahun, Jupe mahu masyarakat melihat bakat yang ada pada dirinya dan bukan penampilannya yang seksi di layar perak.

Sejak 2013, Jupe cuba membuktikan dirinya juga berbakat dalam lakonan dengan menolak tawaran yang ada unsur seksi yang kuat.

Katanya, seksi boleh tapi bukan filem seram keterlaluan dengan unsur seks sebagaimana lakonannya ketika awal pembabitan dalam lakonan.

Selain imej seksi, Jupe juga dikenali sebagai artis kontroversi.

Paling hangat tentunya pergaduhan dengan seorang lagi artis kontroversi, Dewi Persik atau Depe. Kiranya buku bertemu ruas dan kemuncaknya berlaku apabila mereka digandingkan bersama dalam satu filem.

Ketika di lokasi filem Hantu Goyang Kerawang, ada babak pergaduhan mereka berdua dan akhirnya berlanjutan ke mahkamah apabila Depe mendakwa Jupe mencederakan dirinya di lokasi dengan bukti rakaman pergaduhan itu.

Jupe gagal menpertahankan diri walaupun memberi bukti rakaman daripada penggambaran filem hingga dijatuhi hukuman penjara tiga bulan.

Dua tahun lalu, Jupe disahkan menghidap kanser servik dan ia dikaitkan dengan kisah lampau suami yang dikahwini pada 2013, Gaston Castano.

Kata Jupe, dia tidak pernah menyesal digelar artis kontroversi. Dia juga reda dengan ujian besar yang diberikan dan terima dengan tenang dan tabah. Malah Jupe melihatnya sebagai satu hikmah kerana banyak perubahan positif berlaku pada dirinya kini.

Selain lebih tabah, dia kini lebih dekat dengan Allah dan tahu kini siapa orang di kelilinginya yang benar-benar menyayanginya.

Dia ditinggalkan suami apabila disahkan menghidap kanser dan kini keluarga banyak memberi sokongan kepadanya.

Dia mahu orang menilai bakatnya dan berharap filem terbaru dijayakan nanti, Merintis Pasir membuka mata masyarakat terhadap lakonannya.

Filem ini akan memulakan penggambaran akhir bulan ini dan Jupe memegang watak isteri dan ibu yang berjuang untuk kehidupan diri dan anaknya selepas ditinggalkan suami yang tidak pulang-pulang selepas merantau ke Jakarta.

Jupe turun ke Kuala Lumpur pada 4 September lalu untuk menghadiri tayangan perdana filem Kalam-Kalam Langit yang kini ditayangkan di pawagam sejak Khamis lalu sebagai tanda sokongan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:05 AM