JENAZAH Jupe disembahyangkan di sebuah masjid di Jakarta, semalam.  - Agensi
JENAZAH Jupe disembahyangkan di sebuah masjid di Jakarta, semalam. - Agensi
Agensi

Jakarta: Penyanyi dangdut dan juga pelakon kontroversi Indonesia, Julia Perez meninggal dunia pagi semalam selepas tiga tahun bertarung melawan kanser servikal.

Kematian Julia atau lebih dikenali dengan panggilan Jupe, diumumkan oleh adiknya Nia Anggia menerusi akaun Instagramnya.

Jupe disahkan menghidap penyakit berkenaan pada September 2014. Dia menjalani pembedahan di Hospital Besar Cipto Mangunkusumo Jumaat lalu. Sebelum ini, selebriti itu yang dilahirkan pada 15 Julai 1980 pernah menjalani rawatan di sebuah hospital di Singapura.

Pada Januari 2015, Jupe berkata dia sudah pulih daripada penyakit berkenaan. Malangnya, kanser pangkal rahim itu muncul kembali Jun tahun lalu. Enam bulan selepas itu, Jupe mengakui kanser yang dihidapinya itu sudah di tahap empat.

Dia dimasukkan ke Hospital Cipto Mangunkusumo pada Februari 2017 dan sejak saat itu keadaannya semakin tenat.

Ketika hayatnya, Jupe terkenal sebagai artis kontroversi. Dua lagunya dianggap lucah oleh Suruhanjaya Penyiaran Indonesia Cawangan Jawa Barat sehingga memaksa Jupe merombak semula lagu berkenaan.

Ketika di pentas, Jupe kerap diselar ulama kerana dianggap ‘seksi terlampau.’

Dia juga muncul dalam beberapa filem komedi, termasuk ‘Arwah Goyang Karawang’.

Jupe dikatakan memperoleh Ijazah Undang-Undang dari Universiti Bung Karno, Jakarta pada 2015 dan pernah berkahwin dengan pemain bola sepak warga Argentina, Gaston Castano. Mereka bercerai pada 2016.

Jupe ialah selebriti Indonesia kedua meninggal dunia akibat kanser dalam masa kurang sebulan.

Pelakon Yana Zein meninggal dunia 1 Jun lalu akibat kanser payudara. Kematian Yana mencetuskan masalah apabila terjadi perebutan antara ibu dan ayahnya yang berbeza agama.

Dia akhirnya dikebumikan sebagai Muslim, agama bapanya, walaupun dibantah oleh ibunya yang beragama Kristian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2017 @ 12:03 AM