Kelana Jaya: Ada duit semua boleh jadi. Itulah senario dalam bola sepak Malaysia apabila duit lebih berkuasa daripada kontrak ditandatangani pemain.

Ini terbukti apabila Mohd Faizol Hussein boleh menyarung jersi Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) biarpun tanpa kerelaan pasukan lamanya Pahang.

Tanpa dikenakan sebarang hukuman, pemain berusia 28 tahun itu hanya perlu membayar tebus kontrak selama setahun sebanyak RM120,000 serta memulangkan semula bayaran gaji Disember 2014, RM10,000 kepada Pahang.

Alasan Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam, Faizol mengikut prosedur perpindahan pemain dan kesnya hanya dirujuk dalam Artikel 15 A membabitkan tebus kontrak saja.

“Berdasarkan dokumen, afidavit dan keterangan semua pihak, kami mendapati Faizol mengikut prosedur perpindahan pemain dengan menghantar notis kepada Pahang FA (Persatuan Bolasepak Negeri Pahang). Namun Pahang FA tidak memanggilnya untuk mengadakan perbincangan.

“Ini hanyalah membabitkan kes tebus kontrak dengan Faizol hanya perlu membayar jumlah baki kontraknya bersama Pahang sebanyak RM120,000 serta memulangkan semula gaji diterimanya, RM10,000 pada Disember (2014),” kata pengerusi jawatankuasa itu Datuk Takiyuddin Hassan pada sidang media semalam.

Tiada hukuman penggantungan dikenakan kepada pemain yang membantu Pahang menjuarai Piala FA dan Piala Malaysia musim lalu itu malah pasukan barunya juga tidak dikenakan sebarang tindakan.

“Atas kecuaian Faizol yang menimbulkan masalah teknikal dan pentadbiran dalam perpindahan ini, dia diberikan amaran keras, begitu juga dengan Johor DT,” jelas Takiyuddin.

Tapi menjadi persoalan apabila Gary Steven Robbat yang turut dibicarakan semalam digantung tiga bulan dan denda RM50,000 kerana menyertai Johor DT sedangkan mempunyai kontrak dengan Pahang.

Faizol pula dibenarkan berhijrah ke Johor DT II sedangkan dia masih terikat kontrak setahun bersama PBNP dan tamat pada November tahun ini.

Pemain itu yang memiliki dua nama dalam Sistem Pengurusan Maklumat Bola Sepak bersama Johor DT II dan Pahang pada musim ini juga boleh disabitkan dengan kesalahan melanggar kontrak yang belum tamat.

Seorang pegawai PBNP yang ditemui selepas perbicaraan itu semalam nyata tidak puas hati dengan keputusan itu, namun beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai tindakan susulan yang bakal diambil kerana mahu berbincang dengan pihak pengurusan terlebih dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:11 AM