Oleh Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Episod tarik tali empat pemain Pahang yang sebelum ini dikatakan akan berpindah, berakhir apabila mereka berikrar untuk kekal menabur bakti bersama Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) musim depan.

Empat ayam tambatan Tok Gajah yang sebelum ini dilaporkan ingin mencari angin baru membabitkan ketua pasukan, Razman Roslan, Mohd Fauzi Roslan, Mohd Hafiz Kamal dan R Gopinathan.

Bagaimanapun, seorang demi seorang kemudian membatalkan hasrat berpindah dengan masing-masing kembali menyatakan hasrat kekal menyarung jersi Pahang.

Selepas Razman yang terlebih dulu menyatakan persetujuan kekal dalam skuad kendalian jurulatih Zainal Abidin Hassan, kelmarin Fauzi, Hafiz dan Gopinathan mengesahkan mereka turut mengikut jejak ketua pasukan itu.

Razman dikaitkan dengan Selangor, manakala Fauzi (FELDA United), Hafiz, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Gopinathan, Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

Sumber PBNP menyatakan pemain terbabit akan menandatangani kontrak baru selepas semua proses selesai.

Usaha mengekalkan barisan pemain musim ini dilakukan bagi memperkuatkan pasukan untuk mengekalkan tiga kejuaraan dicapai musim ini.

Selaku juara Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia musim kedua berturut-turut cabaran yang bakal dihadapi Pahang ternyata lebih mencabar dan sehubungan itu memerlukan gandingan pemain dan jurulatih mantap.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:04 AM