Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur:Tiada tindakan susulan dikenakan terhadap juara Piala Malaysia musim lalu, Pahang selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendahulukan pembayaran AS$125,000 (RM537,435) untuk bekas pemain import kelahiran Maghribi, Mohamed Borji (gambar) selain melangsaikan denda 17,000 Swiss frans (RM73,997) kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Secara keseluruhan FAM membayar RM611,432 bagi pihak Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Menurut Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mereka akan menuntut semula bayaran itu daripada jumlah insentif yang diberikan kepada Pahang untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Beliau berkata, FAM bersetuju mendahulukan bayaran selepas mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pahang FC Sdn Bhd, Fahrizal Hasan.

Setiap pasukan dari Liga Super akan mendapat geran minimum RM1 juta yang akan dibayar setiap awal musim selain insentif tambahan berdasarkan prestasi mereka dalam saingan liga serta kejohanan lain musim ini.

“Jadi, tiada tindakan susulan akan diambil terhadap Pahang. Perkara ini sudah selesai dan biar ia menjadi pengajaran buat Pahang serta pasukan lain.

“Kami sudah berjumpa Fahrizal dua minggu lalu dan bersetuju untuk membayar pampasan serta denda bagi pihak Pahang.

“Bagaimanapun, FAM akan memotong jumlah insentif yang akan diterima Pahang. Kita juga sudah mengenakan hukuman setimpal buat Pahang apabila menolak enam mata seperti diarahkan FIFA,” katanya.

Skuad Tok Gajah itu sebelum ini menamatkan saingan liga di tempat kedua di belakang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) namun tergelincir ke tangga ketiga selepas ditolak enam mata, seterusnya hilang slot automatik ke Piala AFC musim depan.

Kontrak Borji ditamatkan pada 2013 berikutan aksi buruknya dalam saingan liga, namun pemain berusia 34 tahun itu membuat aduan kepada FIFA selepas tidak mendapat wang pampasan.

Pada 31 Oktober 2014 Jawatankuasa DRC FIFA (Dispute Resolution Chamber) mengarahkan Pahang membayar AS$45,000 (RM193,580) untuk bayaran yuran perpindahan dan AS$80,000 (RM344,141) sebagai pampasan kerana melanggar kontrak.

Kegagalan Pahang berbuat demikian menyaksikan FIFA menghantar satu lagi surat bertarikh 10 Ogos melalui Jawatankuasa Tatatertib mengarahkan Pahang membayar AS$125,000 dengan tambahan 15,000 Swiss francs (RM65,185) sebagai denda kerana gagal mengikut arahan termasuk kos kes berkenaan 2,000 Swiss francs (RM8,691).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 7:08 AM