Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Hanya Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mampu menyelesaikan isu pertindihan nama Gary Steven Robbat yang tersenarai dalam dua pasukan, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Pahang untuk mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Turut mengalami dilema adalah pemain kelahiran Johor, Mohd Faizol Hussain (gambar) yang menyatakan persetujuan mewakili Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) pada saingan Liga Perdana namun tidak dilepaskan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Difahamkan Faizol sudah menghantar surat kepada PBNP untuk membatalkan kontrak bersama skuad Tok Gajah musim depan seperti termaktub dalam kontrak antara pemain dan majikan mengikut Fasal 8.5 yang membenarkan seseorang pemain membatalkan kontrak tanpa alasan munasabah dan membayar pampasan baki kontrak kepada majikan lama.

Kini terserah kepada Jawatankuasa Status Pemain FAM untuk menentukan nasib Gary sama ada kekal beraksi bersama Johor DT manakala Faizol yang sudah mahu meleraikan ikatan dengan Pahang untuk beraksi bersama JDT II diselesaikan secara baik.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Mohd Fahmy Yahya menerusi entri terbaru dalam laman rasmi JOHOR Southern Tigers menegaskan FAM harus menyelesaikan kemelut itu.

“Berhubung isu membabitkan pemain kebangsaan, Gary Steven Robbat, PBNJ pada dasarnya berdepan situasi apabila seorang pemain sudah menandatangani kontrak dengan dua pasukan berbeza.

“Untuk mengelak sebarang pertindihan kontrak atau kekalutan yang mungkin menjadi lebih rumit, saya mengesyorkan Jawatankuasa Status Pemain FAM segera melakukan siasatan.

“Jawatankuasa juga perlu menghubungi persatuan terbabit dan pemain bagi mengenal pasti kedudukan sebenar dan memberi kata putus pasukan mana yang sepatutnya diwakili Gary musim depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 7:31 AM