Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Memiliki kediaman yang gah dan cantik dari aspek rekaan tidak menjamin tahap keselamatan yang baik khususnya untuk golongan kanak-kanak sekiranya aspek berkaitan tidak diutamakan.

Pemilihan perabot, jenis kemasan, bukaan ruang, kedudukan sumber elektrik dan kedudukan aras lantai antara ciri-ciri utama yang perlu dinilai sebelum menduduki kediaman bagi memastikan kanak-kanak tidak terdedah dengan bahaya dalam rumah.

Pensyarah Kanan Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak, Azizul Azli Ahmad berkata, pemilihan perabot yang bersesuaian mempengaruhi faktor keselamatan dalam kediaman kerana terdapat perabot yang membahayakan kanak-kanak dan tidak bersesuai untuk sesebuah ruang.

“Sebagai contoh, kabinet televisyen yang tidak mengikut piawaian mungkin boleh mengakibatkan kecederaan kepada kanak-kanak. Ini kerana terdapat kes di mana seorang kanak-kanak maut akibat ditimpa kabinet televisyen di rumahnya,” katanya.

Menurutnya, perabot juga mestilah tidak memiliki sudut tajam dan berbahaya namun, ia masih boleh diatasi dengan membeli aksesori penutup bucu meja.

“Apa yang lebih penting adalah pastikan bahan perabot tidak diperbuat daripada bahan mudah tanggal dan beracun, penggunaan cat atau bahan kekemasan yang mudah digigit serta mempunyai bahan kimia yang merbahaya.

“Reka bentuk perabot juga perlu diambil kira supaya ia tidak membuatkan kanak-kanak terperangkap di satu sudut atau membuatnya ‘hilang’ dari pandangan. Ada beberapa reka bentuk katil yang menyebabkan kanak kanak mudah terjatuh atau leher mereka sukar dilepaskan bila bersendirian,” katanya.

Menurutnya, kediaman yang selamat dapat membantu perkembangan minda kanak-kanak dan beberapa perkara perlu dielakkan bagi memastikan perkembangan minda tidak terganggu.

“Sebaik-baiknya, elakkan kediaman bertingkat kerana semakin tinggi kediaman, kanak-kanak semakin terdedah dengan bahaya dan risiko.

“Banyak bukaan tingkap dan pintu juga boleh mempengaruhi keselamatan kanak-kanak kerana ia boleh menjadi punca mereka keluar atau jatuh,” katanya.

Azizul berkata, kedudukan punca elektrik perlu berada di bahagian atas melepasi paras lima kali dari lantai dan perlu elakkan kedudukan soket pada paras yang rendah kerana dibimbangi memudaratkan kanak-kanak.

“Selain itu, kediaman yang dilengkapi kolam juga mungkin mengundang bahaya kepada kanak-kanak sekiranya ia tidak dilengkapi ciri-ciri keselamatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:03 AM