SIKAP ingin tahu si kecil boleh memudaratkan mereka kerana tak dapat menilai situasi. - FOTO Google
SIKAP ingin tahu si kecil boleh memudaratkan mereka kerana tak dapat menilai situasi. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@mediaprima.com.my


Sejak akhir-akhir ini, banyak kes kematian membabitkan kanak-kanak maut akibat terjatuh bangunan terpampang di media massa.

Pada 17 November lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut akibat terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak, Selangor.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, ibu mangsa yang juga seorang ibu tunggal dikatakan tiada di rumah kerana keluar atas satu urusan dan mangsa ditinggalkan bersama adik lelaki yang berusia empat tahun bersama ibu saudara berusia 36 tahun.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat sebuah katil di tepi tingkap.

Sehari sebelumnya, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Bapa mangsa dikatakan keluar membeli barang dan apabila pulang ke rumah, dia mendapati anaknya sudah tiada sebelum meminta bantuan pihak pengurusan untuk mencari mangsa.

Bulan lalu, terdapat dua kes iaitu kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan hotel di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada 18 Oktober.

Pada 25 Oktober pula, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah kuarters penjawat awam di Putrajaya.

Ketika kejadian mangsa tinggal bersama kakak berumur 14 tahun dan adik lelaki berumur tujuh tahun di rumah kerana ibu bapa keluar bekerja.

JIKA tidak mampu pasang gril tetapi pastikan tingkap sentiasa tertutup dan sukar dibuka. - FOTO Google
JIKA tidak mampu pasang gril tetapi pastikan tingkap sentiasa tertutup dan sukar dibuka. - FOTO Google

Kes kematian yang meruntun hati sebegitu bukanlah perkara baru malah saban tahun berlaku di negara ini namun persoalannya, adakah ia masih belum cukup untuk memberi pengajaran kepada semua?

Benar, ajal itu tidak akan cepat atau lewat walau seminit pun tetapi sikap cuai tidak kira sama ada ibu bapa atau penjaga sememangnya berisiko mengancam nyawa dan membuka ruang yang boleh mendatang bahaya kepada kanak-kanak.

Perunding Keibubapaan yang juga Pengasas Parent Connect Consultancy, Noor Afidah Abu Bakar berkata, kanak-kanak di usia enam tahun ke bawah masih belum cukup matang untuk membezakan situasi baik dan buruk.

Dalam tempoh itu kanak-kanak juga sangat aktif disebabkan sikap ingin tahu dan mahu mencuba dalam diri mereka.

Kata Noor Afidah, kanak-kanak tertanya-tanya mengenai hampir semua perkara di sekeliling yang dapat mereka lihat, bau, sentuh, dengar dan rasa, daripada sekecil-kecil semut yang berada di atas lantai sehinggalah ke sebesar-besar burung besi yang dilihat di langit.

Kanak-kanak juga akan menyiasat, bertanya, mencuba dan akan melakukan eksperimen bukan sahaja dengan benda di sekeliling mereka malah juga eksperimen dengan diri mereka sendiri.

Katanya, kanak-kanak akan bertanya setinggi mana mereka boleh panjat, sejauh mana mereka boleh lompat dan sekuat mana mereka boleh tarik?

"Melihat kanak-kanak seusia begitu memanjat keluar balkoni dengan ketinggian yang bahaya menunjukkan mereka belum mampu membezakan situasi bahaya atau tidak.

"Mereka bukannya nakal atau aktif tidak tentu pasal sebaliknya ia adalah perkembangan normal bagi kanak-kanak usia awal yang tipikal.

"Bagaimanapun sifat kanak-kanak yang aktif, lasak dan tertanya-tanya itu boleh menjadi faktor utama yang membahayakan nyawa mereka jika tidak diawasi," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Noor Afidah berkata, kanak-kanak sememangnya masih belum faham mengenai risiko kerana masih tidak dapat menilai yang mana baik, buruk, betul, salah dan pilihan selamat atau bahaya.

Kata beliau, walaupun berupaya dari segi fizikal dan cerdas akal, kanak-kanak masih memerlukan batasan serta panduan daripada orang dewasa.

KANAK-kanak di usia enam tahun ke bawah masih belum cukup matang untuk membezakan situasi baik dan buruk. - FOTO Google
KANAK-kanak di usia enam tahun ke bawah masih belum cukup matang untuk membezakan situasi baik dan buruk. - FOTO Google

"Mereka bukan sahaja memerlukan pemantauan orang dewasa malah memerlukan ciri-ciri keselamatan yang dapat melindungi dari penerokaan bahaya yang belum terjangkau dek pemikiran mentah.

"Kanak-kanak perlu diberikan peluang untuk aktif dan lasak tetapi orang dewasa perlu menyediakan persekitaran yang selamat untuk mereka.

"Ini kerana kanak-kanak mempunyai hak mereka dan orang dewasa mempunyai tanggungjawab," katanya.

Dalam pada itu, apabila membicarakan soal keselamatan kanak-kanak, Noor Afidah turut menasihati ibu bapa atau penjaga supaya berhenti daripada menggunakan 'tidak mampu' sebagai alasan.

Sebaliknya, fikirkan apa yang mampu dan apa yang boleh dilakukan demi keselamatan anak-anak mengikut kemampuan diri sendiri.

"Jika kita tidak mampu pasang jeriji tetapi pastikan tingkap sentiasa tertutup dan sukar dibuka, jika di rumah bawah pula, pastikan tiada air (dalam bekas, baldi atau kolam renang) yang boleh membahayakan nyawa mereka.

"Susunan perabot dalam rumah juga perlu diberi perhatian dan pastikan tiada kerusi atau katil diletakkan berhampiran dengan tingkap.

"Selain itu, ibu bapa atau penjaga juga perlu mengingatkan kanak-kanak mengenai bahaya yang patut dielakkan dan fikirkan apa yang berada di dalam kemampuan kita untuk memastikan anak selamat," katanya.

PASTIKAN tiada air (dalam bekas, baldi atau kolam renang) yang boleh membahayakan nyawa mereka. - FOTO Google
PASTIKAN tiada air (dalam bekas, baldi atau kolam renang) yang boleh membahayakan nyawa mereka. - FOTO Google

Ujar beliau, meskipun ibu bapa mampu menyediakan apa jua sekalipun tetapi sekiranya tidak cakna mengenai soal keselamatan, ia tetap akan membahayakan nyawa kanak-kanak.

"Ia bukan hanya soal mampu menyediakan keperluan material sebaliknya soal mampu mewujudkan kesedaran dalam diri mengenai risiko keselamatan kanak-kanak.

"Nyawa anak sememangnya tidak ada tanda harga dan sentiasalah berwaspada demi keselamatan mereka," katanya.

Kronologi kes kematian kanak-kanak yang membabitkan kejadian jatuh bangunan:

  • 17 November 2021

    Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut, akibat terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak, Selangor

    Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, ibu mangsa yang juga seorang ibu tunggal dikatakan tiada di rumah kerana keluar atas satu urusan dan mangsa ditinggalkan bersama adik lelaki yang berusia empat tahun bersama ibu saudara berusia 36 tahun.

  • 16 November 2021

    Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

    Bapa mangsa dikatakan keluar membeli barang dan apabila pulang ke rumah, dia mendapati anaknya sudah tiada sebelum meminta bantuan pihak pengurusan untuk mencari mangsa.

  • 25 Oktober 2021

    Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah kuarters penjawat awam di Putrajaya.

    Ketika kejadian mangsa tinggal bersama kakak berumur 14 tahun dan adik lelaki berumur tujuh tahun di rumah kerana ibu bapa keluar bekerja.

  • 18 Oktober 2021

    Seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun meninggal dunia setelah terjatuh dari bangunan hotel di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 7:00 AM