Oleh Afiq Hanif

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) menyasarkan pertumbuhan sehingga 8,000 syarikat berstatus MSC pada tahun ini berbanding 3,215 syarikat sedia ada sejak ia ditubuhkan pada 1996.

Peningkatan melebihi 100 peratus itu mampu dicapai selepas pelaksanaan inisiatif baru dirangka MDeC pada Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC) kali ke-26 kira-kira tiga bulan lalu.

Ketua Pegawai Operasinya Ng Wan Peng berkata, pertambahan syarikat berstatus MSC mampu dilaksanakan selepas proses liberalisasi MSC Malaysia seperti yang dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Antara proses liberalisasi terbabit ialah membenarkan syarikat berstatus MSC yang berdaftar tahun ini beroperasi di luar kawasan yang ditetapkan MSC Cybercity atau Cybercentre sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, syarikat yang memohon status boleh membuka pejabat di mana-mana kawasan berbanding syarat sebelum ini yang lebih ketat.

MSC Malaysia adalah usaha mewujudkan pelbagai nilai baru siber berlandaskan kerjasama perniagaan antara syarikat antarabangsa dan tempatan.

Status MSC membolehkan syarikat menikmati insentif kewangan dan bukan kewangan. Insentif kewangan termasuk pengecualian cukai selama 10 tahun atau elaun cukai pelaburan 100 peratus bagi pelaburan baru dalam MSC.

Ng turut menjangkakan penambahbaikan dalam produktiviti sektor kerajaan pada tahun ini selepas menambah peruntukan bagi memasang jalur lebar berkelajuan tinggi terutama di kawasan yang mempunyai impak ekonomi tinggi.

“Ia sudah pasti akan menjadi faktor kepada sub sektor utama apabila Malaysia bergerak untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.

Selain itu, beliau turut yakin sektor teknologi maklumat dan komunikasi akan terus memainkan peranan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 6:20 AM